Acerpure AQUA WP3 – Penapis Air Kompak Dengan Pemanasan Segera

March 12, 2025
Gajet Dan Teknologi

Lina Rosli

Acer Malaysia memperkenalkan penapis air terbaru dalam rangkaian Acerpure – Acerpure AQUA WP3. Dengan reka bentuk yang kompak tetapi sarat dengan fungsi, ia menjadi pilihan menarik bagi mereka yang mahukan penapis air mudah alih tanpa pemasangan yang rumit.

Apa yang menarik, saiz Acerpure AQUA WP3 sangat sesuai untuk individu yang mempunyai ruang penyimpanan yang terhad tidak kira untuk rumah mahupun pejabat – saiz sekitar 85mm x 240mm x 320mm bersamaan dengan saiz sekotak bijirin selain turut menampilkan berat hanya 2kg sahaja.

Acerpure AQUA WP3 menampilkan pilihan warna yang neutral – iaitu warna kelabu-putih lembut yang sesuai dengan pelbagai ruang. Sama ada diletakkan di atas rak, meja kopi atau meja kerja, saiznya yang kompak memastikan ia tidak mengambil ruang yang banyak.

Untuk penapis air ini, ia juga berfungsi sebagai termos segera, membolehkan pengguna mendapatkan air bersih dan panas dalam masa hanya 3 saat tanpa perlu pemanasan berulang.

Lebih menarik, ia juga sesuai untuk aktiviti luar seperti perkhemahan kerana dilengkapi pelarasan altitud automatik bagi memastikan suhu didih yang tepat di pelbagai lokasi.

Pengguna juga boleh menyesuaikan jumlah air dari 150ml hingga 500ml, serta menetapkan suhu antara 45°C hingga 95°C dengan kenaikan setiap 5ºC. Ini menjadikannya ideal untuk pelbagai kegunaan seperti membancuh kopi, menyediakan susu bayi atau menghasilkan buih susu untuk minuman kegemaran.

Seterusnya, Acerpure AQUA WP3 hadir dengan sistem penapisan 4 lapisan DCF yang mengandungi 400 lapisan gentian nano-aluminium dan karbon aktif bagi menapis 99.9% virus dan bakteria. Ia juga diperakui oleh NSF dan SGS menerusi 27 ujian kualiti air.

Dengan kapasiti tangki 1.15L, Acerpure AQUA WP3 menyediakan air bersih mengikut permintaan tanpa menghasilkan air buangan, menjadikannya pilihan lebih mesra alam. Bukan itu sahaja, dengan adanya teknologi Smart Wash Self-Cleaning memastikan paip dalaman sentiasa bersih tanpa perlu membuka unit atau mendapatkan servis berkala.

Bagi yang berminat Acerpure AQUA WP3 dijual pada harga RM799 – tetapi pelanggan boleh mendapatkan penapis ini pada harga promosi RM499 jika membuat pra-tempahan di Acer eStore, kedai rasmi Acerpure di Shopee dan kedai fizikal seperti Senheng, One Living, Sincare Zone, Suria Jerai, Ban Hin Bee dan EKS dari 10 Mac 2025 hingga 16 Mac 2025.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd