Xiaomi Malaysia Memperkenalkan Mijia Air Conditioner Pro Eco – Penyaman Udara Pintar Dan Jimat Elektrik
Lina Rosli
Xiaomi kini memperkenalkan siri penyaman udara pintar mereka, Mijia Air Conditioner Pro Eco, yang hadir dalam dua pilihan kuasa – 1.0HP dan 1.5HP. Menawarkan teknologi inverter serta penarafan 5 bintang untuk kecekapan tenaga. Dengan ini, penyaman udara ini menjanjikan kesejukan yang pantas serta penjimatan tenaga yang lebih baik.

Rekaan Moden Dan Fungsi Pintar
Mijia Air Conditioner Pro Eco menampilkan rekaan minimalis yang sesuai dengan pelbagai gaya dalaman. Lebih menarik, ia boleh dikawal terus melalui aplikasi Xiaomi Home menerusi sokongan Xiaomi HyperOS Connect serta menyokong arahan suara menerusi Amazon Alexa dan Google Assistant.
Dengan fungsi ini, pengguna boleh menyesuaikan suhu dan mengaktifkan mod tertentu walaupun ketika berada di luar rumah.

Salah satu ciri utama yang diketengahkan Xiaomi untuk penyaman udara ini ialah teknologi AI Energy Saving Mode yang mampu mengoptimumkan penggunaan tenaga berdasarkan corak penggunaan pengguna. Dengan Coefficient of Performance (CSPF) sehingga 5.97, penyaman udara ini menawarkan prestasi penyejukan yang efisien tanpa menyebabkan bil elektrik melambung tinggi.
Bukan itu sahaja, untuk kesejukan segera, Mijia Air Conditioner Pro Eco hadir dengan mod Turbo yang mampu menyejukkan bilik dalam masa 30 saat.

Penyaman udara ini juga menawarkan sistem pembersihan kendiri yang membantu menghalang pembentukan habuk dan kotoran di dalam unit. Pengguna juga akan menerima notifikasi melalui aplikasi apabila tiba masanya untuk membersihkan penapis, menjadikan penyelenggaraan lebih mudah dan berkesan.
Di Malaysia, harga bagi model 1.0HP adalah RM1,699, manakala model 1.5HP pula berharga RM1,899. Xiaomi turut menawarkan promosi menarik bagi pembelian sebelum 6 April, di mana setiap unit akan disertakan dengan Xiaomi Smart Multifunctional Rice Cooker bernilai RM279 secara percuma.