Staycation Ramadan – 10 Hotel Mewah Yang Menawarkan Pakej Inap Dan Makan Untuk Sahur Dan Iftar

March 14, 2025
Hotel & Pelancongan

Lina Rosli

Bulan Ramadan bukan sahaja masa untuk beribadah dan meningkatkan amalan kerohanian, tetapi juga peluang untuk berehat dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga.

Bagi mereka yang ingin menikmati suasana Ramadan yang lebih santai tanpa perlu risau tentang penyediaan sahur dan iftar, beberapa hotel menawarkan pakej khas dengan kemudahan yang memudahkan ibadah serta menjamin keselesaan sepanjang bulan puasa.

1. The St. Regis Kuala Lumpur – Pengalaman Sahur Di Dalam Bilik Dan Hidangan Iftar Berkonsepkan Kampung

Bagi yang mengutamakan keselesaan, The St. Regis Kuala Lumpur menyediakan perkhidmatan sahur dalam bilik bagi memastikan para tetamu dapat menikmati hidangan tanpa perlu meninggalkan keselesaan penginapan mereka – yang mana harga bilik yang ditawarkan sekitar RM1,100 semalam.

Hotel ini turut menyajikan bufet berbuka bertemakan warisan kampung dengan hidangan istimewa seperti kambing golek dan bubur lambuk, memberikan rasa nostalgia kepada para tetamu.

2. W Kuala Lumpur – Suasana Bazar Ramadan Di Dalam Hotel

Menawarkan pengalaman berbuka yang unik, W Kuala Lumpur menghidangkan bufet Ramadan bertemakan pasar malam, menampilkan kepelbagaian juadah dari makanan jalanan Malaysia, hidangan Pan-Asia, hingga sajian Timur Tengah.

Bagi mereka yang lebih selesa menikmati sahur dalam privasi bilik, perkhidmatan penghantaran makanan turut disediakan – yang mana harga tempahan hotel bermula RM1,079 untuk satu bilik.

Ramadan halal food. Eid table setting. Hummus, Moroccan traditional cuisine. Authentic local homemade traditional meals. High quality photo

3. Aloft Langkawi – Percutian Ramadan Mesra Keluarga

Aloft Langkawi bukan sahaja menawarkan hidangan sahur dalam bilik dan bufet berbuka yang pelbagai, tetapi turut menyediakan aktiviti menarik seperti batik painting dan Camp Aloft, khas untuk kanak-kanak.

Dan hotel ini juga terletak hanya 7 minit dari Masjid Al-Ehsan Temoyong, memberikan kemudahan kepada tetamu yang ingin menunaikan solat tarawih.

4. The Westin Kuala Lumpur – Keselesaan Maksimum Dengan “Heavenly Bed”

Tidur yang berkualiti memainkan peranan penting dalam memastikan tubuh kekal bertenaga sepanjang bulan Ramadan.

The Westin Kuala Lumpur terkenal dengan “Heavenly Bed”, yang direka khas untuk memberikan pengalaman tidur yang lebih lena dan menyegarkan. Buffet berbuka di hotel ini juga menampilkan hidangan kampung klasik, termasuk kambing golek yang menjadi antara menu utama sepanjang bulan Ramadan.

5. Impiana KLCC – Bufet Iftar Bertemakan Bazar Ramadhan

Nikmati pengalaman Ramadan yang selesa dengan pakej Ramadhan Stay & Dine di Impiana KLCC Hotel. Pakej ini merangkumi penginapan untuk seorang atau dua orang, serta akses kepada bufet Iftar bertemakan bazar Ramadan di Tonka Bean Café dan bufet Sahur dengan pilihan makanan berkhasiat.

Selain itu, tetamu juga boleh menikmati Wi-Fi berkelajuan tinggi, kolam infiniti, dan pusat kecergasan.

6. Miri Marriott Resort & Spa – Hidangan Istimewa Oleh Chef Jemputan Dari Lebanon

Khusus untuk anda yang ingin menikmati pengalaman kulinari yang lebih eksklusif, anda boleh memilih Miri Marriott Resort & Spa yang menampilkan menu khas Ramadan oleh chef jemputan Lebanon, Mustapha Hallal.

Selain itu, hotel ini juga menawarkan kolam renang luas dengan harga pakej RM405 semalam – sesuai untuk tetamu yang ingin berehat dan mengisi masa sebelum berbuka dengan aktiviti yang menyegarkan.

7. Courtyard by Marriott Melaka – Akses Mudah Ke Masjid Bersejarah

Bagi mereka yang ingin menghayati pengalaman Ramadan dalam suasana yang lebih mendalam, Courtyard by Marriott Melaka menawarkan bukan sahaja sajian sahur dan berbuka yang enak tetapi juga lokasi yang strategik berhampiran Masjid Al-Azim dan Masjid Kampung Hulu, sebuah masjid bersejarah yang berusia lebih 300 tahun.

Untuk pakej staycation ini, ia ditawarkan pada harga bermula RM509 untuk satu malam.

8. Sheraton Kuching Hotel – Solat Tarawih Bersama Imam Jemputan

Sheraton Kuching Hotel menyediakan kemudahan solat khas yang lengkap dengan imam jemputan untuk solat tarawih, memberikan tetamu peluang untuk menunaikan ibadah dalam suasana yang lebih khusyuk.

Selain itu, bufet berbuka di hotel ini turut menampilkan hidangan khas oleh chef antarabangsa, menawarkan gabungan rasa tradisional dan moden dalam satu hidangan. Tempah hari ini pada harga bermula RM790 untuk dua orang.

9. Villa Renai Resort, Janda Baik – Solat Tarawih dalam suasana kampung

Nikmati tawaran eksklusif penginapan Ramadan di Villa Renai Resort dengan harga bilik bermula dari RM300 untuk satu malam. Pakej ini termasuk hidangan sahur dan iftar untuk 2 atau 4 orang.

Lebih menarik, anda juga boleh merasai pengalaman Solat Tarawih dalam suasana kampung di masjid terdekat iaitu di Masjid Sultan Abu Bakar, hanya 5km (8 minit) dari resort. Jangan lepaskan peluang ini untuk Ramadan yang lebih bermakna.

10. Ramadan Retreat di AnCasa Hotel Kuala Lumpur

Alami penginapan yang selesa sepanjang Ramadan di AnCasa Hotel Kuala Lumpur dengan harga hanya RM338+ semalam. Pakej ini merangkumi bufet sahur dan iftar untuk dua orang, serta pelbagai keistimewaan lain termasuk berdekatan dengan lokasi strategik di Chinatown, Kuala Lumpur.

Malah, untuk kanak-kanak bawah 6 tahun, mereka boleh menikmati makanan secara percuma dengan seorang dewasa yang membayar.

Menginap di hotel sepanjang Ramadan bukan sahaja memudahkan urusan sahur dan berbuka, tetapi juga memberikan peluang untuk menikmati bulan yang mulia ini dalam suasana yang lebih santai dan selesa.

Sama ada untuk percutian bersama keluarga atau masa peribadi untuk refleksi dan ketenangan, hotel-hotel ini menawarkan pengalaman terbaik bagi mereka yang ingin menghayati Ramadan dengan lebih bermakna.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd