Volvo EX90 & XC90 Boleh Mula Ditempah Di Malaysia – Jangkaan Harga Jualan Sekitar RM450,000
Lina Rosli
Volvo Car Malaysia kini membuka tempahan untuk dua SUV mercu mereka – iaitu Volvo EX90 dan XC90 baharu. Kedua-dua model ini dijangka berharga sekitar RM450,000 dengan perincian spesifikasi akan diumumkan kemudian.
Menariknya, Malaysia menjadi antara pasaran terawal di Asia Pasifik yang menerima Volvo EX90 selepas pelancarannya di Thailand tahun lalu. EX90 ialah SUV tujuh tempat duduk sepenuhnya elektrik dengan jarak pemanduan melebihi 600km, pecutan bawah lima saat serta sistem audio Bowers & Wilkins. Ia juga hadir dengan teknologi keselamatan paling maju dan arkitektur perisian yang membolehkan peningkatan ciri dari semasa ke semasa.

XC90 baharu pula merupakan model hibrid plug-in dengan reka bentuk yang diperbaharui buat pertama kali sejak sedekad lalu. Dengan antara muka baharu, ia kini lebih selari dengan EX90 sebagai pilihan SUV yang praktikal dan premium.
Menerusi pengenalan ini, Volvo komited dengan kenderaan elektrik mereka yang mana jenama ini menyasarkan sekitar 90 hingga 100% jualan model elektrik menjelang 2030. Tahun lalu, Volvo mencatatkan lebih 80% jualan untuk model BEV dan PHEV di Malaysia.
Tempahan boleh dibuat di laman rasmi Volvo Car Malaysia.