Pereka Asia Kuasai Moscow Fashion Week – Raikan Kepelbagaian Budaya Di Dalam Acara Fesyen Global
Lina Rosli
Moscow Fashion Week kembali dengan penuh gaya, menampilkan koleksi luar biasa daripada jenama fesyen dari seluruh dunia. Tahun ini, pentas fesyen Moscow menjadi tumpuan pereka Asia yang semakin menempa nama di dalam industri global.
Dengan penyertaan dari China, India, Indonesia, Tajikistan, Armenia dan Turki, acara ini membuktikan bahawa fesyen bukan sekadar gaya, tetapi juga wadah untuk pertukaran budaya dan inovasi kreatif.
Tiga jenama utama dari Tajikistan iaitu Safia Couture, Olimzoda Mahin dan Ikat House memikat perhatian dengan koleksi yang menggabungkan warisan tradisional dengan sentuhan moden. Menurut Mahina Rajabova dari Safia Couture, Moscow Fashion Week membuka peluang berharga bagi pereka baharu untuk menembusi pasaran antarabangsa dan menarik perhatian pembeli serta media global.
China dan India, dua kuasa ekonomi dunia, turut memanfaatkan platform ini untuk mengukuhkan pengaruh mereka dalam industri tekstil. Li Ying dari jenama China, I-LA, menyatakan bahawa Moscow Fashion Week bukan sahaja memberi ruang kepada pereka untuk menonjolkan kreativiti mereka tetapi juga menggalakkan pertukaran budaya melalui fesyen.

Selain Asia, fesyen Rusia sendiri turut berkembang dengan kehadiran pereka berbakat seperti Alexander Varlakov dari Vladivostok, Isabella Dordosova dari jenama INNIKI dan Ogo Citizen dari Yakutsk.
Apa yang menarik, untuk koleksi Alexander Varlakov, beliau memberi penghormatan kepada era 1950-an dengan siluet yang elegan, sementara Ogo Citizen menonjolkan inovasi dalam fesyen mampan melalui penggunaan bahan kitar semula.
INNIKI pula mempersembahkan koleksi yang terinspirasi daripada keindahan Kutub Utara, menampilkan tekstur unik yang menggambarkan salji mencair dan bunga artik.

Moscow Fashion Week turut menyaksikan penyertaan pereka dari Amerika Syarikat, Sepanyol dan Afrika Selatan, menjadikannya acara yang benar-benar berskala global.
Dengan kepelbagaian budaya yang diraikan melalui setiap helaian pakaian yang dipersembahkan, acara ini membuktikan bahawa fesyen adalah bahasa universal yang mampu menyatukan dunia.