Dulu Risau Kini Yakin: Rakyat Malaysia Mula Terbuka Bincang Tentang Kesihatan Intim

March 25, 2025
Famili

ssofea

Oleh Dr. Nurul Ain Abdullah, Pengarah Perubatan Alainn Clinic, MB BCh BAO (NUI, Ire) MSc (UCSI).

Di Malaysia, topik kesihatan bahagian intim masih dianggap sensitif dan jarang dibincangkan secara terbuka. Masalah seperti kebocoran kencing (urinary incontinence) atau kesihatan lantai pelvis sering dianggap sebagai perkara terlarang, walaupun ia memberi kesan besar terhadap kehidupan seharian dari keselesaan fizikal hingga hubungan sosial, kesihatan mental, dan keyakinan diri. Namun, ada perubahan yang sedang berlaku dan ia semakin mendapat perhatian.

Ramai yang rasa malu untuk mendapatkan rawatan bagi masalah seperti kebocoran kencing, walaupun hakikatnya satu daripada empat wanita dan ramai lelaki mengalaminya. Ramai juga menganggap ia adalah proses semula jadi akibat penuaan atau selepas bersalin, tapi sebenarnya, pemikiran ini sudah ketinggalan zaman. Kesedaran semakin meningkat bahawa kesihatan bahagian intim adalah sebahagian daripada kesejahteraan keseluruhan, dan terdapat penyelesaian moden yang boleh membantu mereka mendapatkan semula kawalan ke atas kehidupan mereka.

Mula Buka Cerita: Pendidikan Itu Kunci

Kesihatan bahagian intim bukan sekadar tentang kesihatan fizikal, ia juga berkait rapat dengan bagaimana kita melihat diri sendiri, bagaimana kita berhubung dengan orang lain, dan bagaimana kita menjaga kesejahteraan secara keseluruhan. Dari kekuatan lantai pelvis hingga kesihatan seksual dan masalah berkaitan sistem urinari, ramai masih beranggapan ia adalah perkara yang ‘normal’ untuk dilalui tanpa sebarang rawatan. Hakikatnya, jika dibiarkan, ia boleh menjejaskan kesihatan mental, hubungan, dan kualiti hidup.

Tapi keadaan ini boleh berubah. Bila seseorang mengambil langkah menjaga kesihatan intim mereka, sama ada melalui senaman lantai pelvis, rawatan kebocoran kencing, atau mendapatkan bantuan untuk kesihatan seksual, mereka bukan sahaja dapat meningkatkan keyakinan diri, malah dapat memperbaiki hubungan dengan pasangan serta menikmati kehidupan dengan lebih selesa.

Kempen kesedaran, ceramah komuniti, dan bengkel kesihatan wanita semakin mendapat sambutan di Malaysia. Topik seperti menopaus, kebocoran kencing, dan penjagaan kesihatan selepas bersalin semakin dibincangkan dalam persekitaran yang lebih terbuka dan menyokong. Ini membantu lebih ramai orang berasa selesa untuk mendapatkan rawatan. Sama seperti kita sering bercakap tentang penjagaan kulit, kesihatan mental, dan kecergasan, sudah tiba masanya kita beri perhatian yang sama kepada kesihatan bahagian intim.

Dr. Nurul Ain Abdullah memberi pandangan tentang kepentingan kesihatan bahagian intim dan bagaimana rakyat Malaysia semakin terbuka dalam membincangkan isu ini.

Bukan Sekadar Masalah Fizikal

Bagi ramai individu, kelemahan lantai pelvis dan masalah kawalan pundi kencing bukan sekadar isu fizikal, ia juga boleh memberi kesan emosi yang besar. Apa yang kelihatan seperti aktiviti harian biasa kepada orang lain seperti berjalan-jalan, bersosial, atau melancong boleh menjadi sesuatu yang mencetuskan kebimbangan bagi mereka yang mengalami masalah ini.

Ramai yang mula mengelak aktiviti yang mereka sukai kerana takut berdepan dengan ‘insiden memalukan’. Acara sosial terasa sukar, bersenam jadi terbatas, dan bersiar-siar menjadi sesuatu yang merisaukan. Bagi wanita khususnya, rasa seperti ‘terperangkap’ dengan keadaan ini boleh menjadi sangat mengecewakan. Bila badan terasa seperti di luar kawalan, keyakinan diri mula merosot, yang akhirnya boleh menyebabkan pengasingan diri dan kemurungan.

Rawatan Tanpa Pembedahan untuk Kesihatan Bahagian Intim

Walaupun perbincangan tentang kesihatan bahagian intim masih dalam proses normalisasi, kini terdapat rawatan tanpa pembedahan yang boleh membantu mereka yang mengalami masalah seperti kebocoran kencing dan kelemahan lantai pelvis.

Salah satu rawatan inovatif yang semakin popular ialah Emsella, yang menggunakan teknologi gelombang elektromagnetik berfokus tinggi (HIFEM) untuk menguatkan otot lantai pelvis. Dalam sesi hanya 28 minit, kerusi khas ini boleh merangsang ribuan senaman Kegel secara automatik, membantu meningkatkan kawalan pundi kencing dengan lebih efektif, tanpa pembedahan, tanpa rasa sakit, dan tanpa waktu pemulihan yang lama.

Bagi wanita yang ingin meningkatkan kesihatan intim mereka selepas bersalin atau mengalami ketidakselesaan semasa hubungan seksual, rawatan seperti Exion Emfemme 360 boleh membantu. Dengan menggunakan tenaga radiofrekuensi, rawatan ini membantu menegangkan dan meremajakan tisu faraj dengan lembut. Ia pantas, berkesan, dan tidak memerlukan waktu pemulihan, menjadikannya pilihan praktikal untuk wanita yang ingin meningkatkan kesejahteraan intim mereka.

Seperti mana kita menjaga kesihatan tubuh melalui senaman dan pemakanan sihat, kesihatan intim juga perlu diberi perhatian yang sama. Dengan langkah-langkah mudah seperti mengekalkan kekuatan lantai pelvis, menjaga kesihatan mental, dan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan, kita dapat meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan diri.

Perbincangan mengenai kesihatan intim kini semakin berkembang, dan semakin ramai yang sedar bahawa menjaga aspek ini bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan diri, tetapi juga memberi lebih kebebasan dan kegembiraan dalam kehidupan seharian. Dengan menghapuskan stigma dan membuka ruang untuk berbicara tentang kesihatan intim, kita dapat membantu lebih ramai individu mendapatkan rawatan yang mereka perlukan dan menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan bahagia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd