Asal Usul Budaya Memberi Duit Raya – Dari Sedekah Ke Tradisi Raya

March 27, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Pemberian duit raya bukan sekadar adat semata-mata, tetapi ia juga memiliki sejarah panjang serta nilai yang berakar dalam budaya dan agama. Dari zaman pemberian duit raya fizikal hingga ke trend pemberian duit menggunakan dompet digital, duit raya kekal menjadi simbol kasih sayang dan perkongsian rezeki di Aidilfitri.

Asal-Usul Duit Raya – Dari Sedekah Ke Tradisi Raya

Dalam ajaran Islam, memberi sedekah adalah satu amalan yang sangat digalakkan. Konsep memberi duit raya kepada ibu bapa, kaum kerabat dan kanak-kanak pada 1 Syawal sebenarnya menepati perbuatan sedekah, yang mendatangkan ganjaran pahala. Ia bukan sahaja bentuk penghargaan kepada keluarga dan saudara-mara, tetapi juga satu cara untuk mengeratkan silaturahim.

Bahkan, pemberian sedekah kepada ibu bapa termasuk dalam kategori amalan soleh yang sangat menguntungkan kerana ia menggabungkan tiga bentuk pahala iaitu berbuat baik kepada ibu bapa (birrul walidain), mengeratkan hubungan kekeluargaan dan pahala sedekah itu sendiri.

Pengaruh Dan Evolusi Sampul Duit Raya

Sesetengah sumber menyatakan bahawa budaya duit raya mungkin mendapat inspirasi daripada tradisi angpau dalam masyarakat Cina. Namun, dalam budaya Melayu, konsep memberi sedekah pada hari raya sudah wujud sejak sekian lama.

Sampul duit raya berwarna hijau yang sering digunakan pula melambangkan Islam dan keberkatan. Dari segi hukum, penggunaan sampul ini adalah harus kerana ia sekadar alat untuk memudahkan pemberian dan tidak berkaitan dengan ibadah secara langsung.

Seiring dengan peredaran zaman, duit raya yang dahulunya diberikan dalam bentuk syiling atau wang kertas kecil kini semakin meningkat nilainya. Jika dahulu kanak-kanak gembira menerima syiling 50 sen atau RM1, kini tidak hairan jika RM5, RM10 atau lebih diberikan bergantung kepada kemampuan pemberi.

Dan kini, dengan kemajuan teknologi, pemberian duit raya kini tidak lagi terhad kepada wang tunai dalam sampul. Platform seperti DuitNow, Touch ‘n Go eWallet dan aplikasi perbankan membolehkan duit raya dihantar secara digital.

Walaupun kaedah berubah, semangat berkongsi rezeki dan menggembirakan orang lain tetap sama. Malah, dengan cara ini, pemberian boleh menjadi lebih inklusif sekaligus membolehkan individu memberikan duit raya kepada ahli keluarga yang jauh di perantauan.

Duit Raya – Antara Adat Dan Tanggungjawab

Walaupun memberi duit raya adalah satu budaya yang menggembirakan, terdapat beberapa garis panduan dan juga keperluan lain yang perlu anda ketahui. Sebagai contoh, pemberian duit raya haruslah tidak bersifat memaksa diri – yang mana jumlah pemberian mestilah mengikut kemampuan dan tidak membebankan diri sendiri.

Selain itu, pemberian duit raya juga perlu diberi keutamaan kepada golongan yang memerlukan (selain ahli keluarga) seperti fakir miskin.

Duit raya bukan sekadar tradisi, tetapi merupakan satu bentuk kasih sayang, sedekah dan kegembiraan yang dikongsi bersama di bulan Syawal.

Walaupun cara pemberian mungkin berubah dari zaman ke zaman, semangat memberi dan mengeratkan hubungan kekeluargaan akan terus kekal dalam budaya masyarakat kita.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd