Keunikan Rendang Mengikut Negeri – Sajian Tradisi Yang Berbeza Rasa Dan Gaya

March 28, 2025
fakta menarik

Lina Rosli

Rendang merupakan antara hidangan wajib setiap kali musim perayaan, khususnya Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Keenakan rendang yang kaya dengan rempah ratus menjadikannya hidangan yang dinanti-nantikan, bukan sahaja di rumah sendiri tetapi juga di majlis-majlis rumah terbuka.

Untuk pengetahuan anda, rendang sudah sinonim sebagai makanan tradisional di Malaysia – dan apa yang menarik di setiap negeri di Malaysia, rata-rata mempunyai hadir dengan jenis rendang yang tersendiri.

Apa yang membezakannya adalah dari segi penyediaannya yang mana ia melibatkan bahan dan kaedah memasak yang berbeza. Untuk mengetahui lebih lanjut, berikut adalah beberapa jenis rendang mengikut negeri di Malaysia:

#1 Rendang Tok (Perak)

Rendang Tok merupakan jenis rendang yang berasal dari negeri Perak. Ia terkenal dengan penggunaan rempah yang kaya serta tempoh memasak yang lama. Rendang ini menggunakan daging yang dipotong kecil dan dimasak sehingga hampir kering, memberikan tekstur yang lebih pekat dan rasa yang lebih berempah.

Pada asalnya, Rendang Tok menggunakan daging kerbau, tetapi kini lebih banyak disediakan menggunakan daging lembu.

#2 Rendang Cili Padi (Negeri Sembilan)

Dikenali juga sebagai rendang minang, hidangan ini berasal dari Negeri Sembilan yang sinonim dengan makanan pedas.

Tidak seperti rendang biasa yang berwarna gelap, rendang ini menggunakan cili padi sebagai bahan utama, menghasilkan rasa yang lebih pedas berbanding rendang negeri lain. Ia juga sering dinikmati bersama lemang atau ketupat, menjadikannya antara pilihan utama ketika perayaan.

#3 Rendang Daging Hitam (Sarawak)

Rendang Daging Hitam merupakan sajian tradisional masyarakat Sarawak yang unik kerana tidak menggunakan santan. Hidangan ini berwarna lebih gelap kerana dimasak dengan kicap pekat dan rempah khas, memberikan rasa manis berempah yang tersendiri. Rendang ini sering dihidangkan bersama nasi kuning, nasi putih atau lemang.

#4 Rendang Maman (Negeri Sembilan)

Selain rendang minang, Negeri Sembilan juga mempunyai rendang yang menggunakan sayuran tradisional yang mempunyai rasa sedikit pahit – iaitu maman.

Sayur ini sering digunakan dalam masakan Negeri Sembilan dan menjadi bahan utama dalam rendang ini. Rendang maman biasanya dimasak dengan santan dan cili padi, memberikan rasa yang seimbang antara pedas dan lemak.

#5 Rendang Dendeng (Perak)

Berbeza daripada rendang biasa, daging untuk rendang dendeng akan diketuk nipis sebelum dimasak. Teknik ini menjadikan daging lebih lembut dan mudah menyerap rempah. Rendang dendeng sering menjadi pilihan utama bagi mereka yang gemarkan tekstur yang lebih halus.

Hidangan ini sesuai dinikmati bersama nasi putih, ketupat dan nasi impit, serta sering dihidangkan semasa sambutan Hari Raya.

#6 Rendang Opor (Pahang)

Rendang Opor terkenal di Pahang dan mempunyai perbezaan ketara dari segi penggunaan rempah. Ia dimasak menggunakan rempah khas iaitu rempah opor, selain turut menggunakan bahan lain seperti belacan, asam jawa, serai dan gula nisan (gula melaka).

Untuk pengetahuan anda, Rendang opor biasanya dimasak dengan daging lembu atau ayam dan sering dihidangkan bersama nasi putih atau ketupat. Ia bukan sahaja popular ketika Hari Raya, tetapi juga menjadi hidangan istimewa dalam majlis kenduri dan keramaian di Pahang.

#7 Rendang Hati (Johor)

Johor pula terkenal dengan rendang hati, iaitu rendang yang menggunakan hati lembu sebagai bahan utama. Berbeza dengan rendang daging, rendang ini dimasak dengan kicap dan tidak perlu dimasak terlalu lama bagi mengelakkan tekstur yang terlalu keras. Bagi yang kurang gemar hati lembu, daging atau ayam boleh digunakan sebagai alternatif.

Rendang hati sering menjadi hidangan utama dalam rumah terbuka semasa perayaan, majlis kenduri, dan pelbagai acara keramaian di Johor. Ia biasanya dinikmati bersama nasi putih, ketupat, lemang atau nasi impit, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk pelbagai jenis sajian.

#8 Rendang Ayam Lengkuas (Sabah)

Rendang ini berasal dari masyarakat Bugis di Sabah dan mempunyai dua variasi – versi basah dan kering. Seperti namanya, hidangan ini menggunakan lengkuas dalam jumlah yang banyak, menjadikannya lebih aromatik. Biasanya, ayam kampung digunakan untuk menambahkan keaslian rasa, dan rendang ini sering dihidangkan bersama buras yang merupakan sejenis nasi pulut berdaun pisang.

#9 Rendang Ayam Kelantan (Kelantan)

Kelantan mempunyai versi rendangnya sendiri yang lebih berkuah dan tidak menggunakan kerisik. Perbezaan utama rendang ini adalah penggunaan asam gelugor yang memberikan sedikit rasa masam. Teksturnya yang lebih berkuah menjadikannya pilihan yang enak untuk dimakan bersama pulut kuning atau ketupat.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana tidak kira di mana sahaja anda berada, rendang tetap menjadi sajian yang sinonim dengan kemeriahan Hari Raya. Dengan pelbagai versi rendang yang wujud di setiap negeri, setiap hidangan membawa cerita dan warisan tersendiri.

Jadi, rendang manakah yang menjadi pilihan utama anda setiap kali Hari Raya?

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd