Gua Sha Atau Facial Roller – Mana Lebih Efektif Untuk Penjagaan Kulit?

April 7, 2025
Kecantikan

Lina Rosli

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, alat penjagaan wajah seperti gua sha dan ice roller semakin mendapat tempat dalam rutin kecantikan harian, khususnya dalam kalangan individu yang mementingkan kesihatan kulit secara semula jadi.

Meskipun kedua-duanya menawarkan manfaat tersendiri, apakah perbezaan sebenar antara gua sha dan facial roller (penggelek kecantikan), dan yang mana satu lebih sesuai untuk keperluan kulit anda?

Apa Itu Gua Sha?

Gua sha merupakan teknik tradisional dari perubatan Cina yang melibatkan urutan lembut permukaan kulit menggunakan alat yang diperbuat daripada batu jed, rose quartz atau obsidian. Ia dipercayai dapat melancarkan peredaran darah, mengurangkan ketegangan otot, dan meningkatkan penyerapan produk penjagaan kulit.

Secara umumnya, terdapat beberapa kelebihan gua sha, termasuklah:

  • Membantu merangsang peredaran darah.
  • Mengurangkan bengkak dan ‘water retention‘ di wajah.
  • Menggalakkan kontur muka secara semula jadi.
  • Memberi kesan menenangkan dan mengurangkan tekanan.

Apa Itu Facial Roller?

Sementara itu, facial roller atau penggelek kecantikan pula ialah alat berbentuk silinder yang disimpan dalam peti sejuk beku dan digosok di atas permukaan kulit untuk memberikan kesan sejuk yang menyegarkan. Ia sering digunakan pada waktu pagi untuk mengurangkan wajah yang sembap dan memberikan kesegaran segera.

Bagi yang tidak mengetahui, kelebihan penggelek kecantikan termasuklah:

  • Mengecilkan pori-pori secara sementara pada permukaan kulit.
  • Melegakan kulit yang kemerahan atau meradang.
  • Mengurangkan bengkak di bawah mata.
  • Memberikan kesan menyejukkan yang serta-merta.

Perbandingan Dari Segi Keberkesanan

Untuk peredaran darah dan pembentukan kontur wajah, gua sha lebih berkesan kerana teknik urutan yang mendalam. Ia memerlukan konsistensi dan teknik yang betul, namun kesannya boleh dilihat secara berperingkat terutamanya dari segi definisi rahang dan pipi.

Sebaliknya, penggelek kecantikan memberikan kesan segera, terutamanya dalam mengurangkan bengkak dan menenangkan kulit sensitif. Ia sesuai untuk digunakan pada waktu pagi sebelum bersolek atau selepas hari yang panjang.

Mana Lebih Sesuai Gua Sha Atau Ice Roller?

Pemilihan antara gua sha dan penggelek kecantikan bergantung pada keperluan kulit dan juga rutin penjagaan kulit anda:

  • Jika anda mahukan hasil jangka panjang dan tidak kisah meluangkan masa dalam rutin penjagaan kulit, gua sha mungkin pilihan terbaik.
  • Jika anda mencari solusi pantas untuk wajah sembap atau kulit letih, penggelek kecantikan adalah pilihan yang praktikal.

Harus diingatkan bahawa walaupun alat ini menawarkan solusi yang bermanfaat kepada kulit, namun ia memerlukan konsistensi untuk mendapatkan hasil yang lebih jelas.

Bukan itu sahaja, kedua-duanya alat urutan wajah ini juga boleh digabungkan di dalam rutin kecantikan anda. Penggelek kecantikan boleh digunakan pada waktu pagi untuk kesegaran segera, manakala gua sha boleh menjadi rutin malam yang membantu meremajakan kulit secara beransur-ansur.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd