Volvo EX90 Dinobatkan Sebagai Kereta Mewah Terbaik Dunia Bagi Tahun 2024
Lina Rosli
Volvo Car Malaysia secara rasmi melancarkan model kereta elektrik sepenuhnya yang baharu, iaitu Volvo EX90. Apa yang menarik, model EX90 ini telahpun dinobatkan sebagai Kereta Mewah Terbaik Dunia Bagi Tahun 2024 atau World Luxury Car of the Year 2024 oleh juri World Car Awards, sekaligus mengukuhkan lagi kedudukan Volvo dalam segmen kenderaan elektrik mewah.
Pengiktirafan antarabangsa ini diumumkan sempena New York International Auto Show. Barisan juri yang terdiri daripada 96 wartawan automotif dari lebih 30 negara menyatakan bahawa EX90 menampilkan reka bentuk Scandinavia yang mewah dan halus, disertai prestasi elektrik berkuasa serta teknologi keselamatan yang mendahului zaman.
Teknologi Pintar, Keselamatan Dipertingkat
Volvo EX90 direka sebagai sebuah “komputer atas roda” yang boleh terus berkembang dari segi perisian melalui kemaskini over-the-air. Ia dibina berasaskan Superset tech stack oleh Volvo sendiri dan dipacu oleh platform NVIDIA DRIVE AI — sistem yang mengawal semua fungsi penting kenderaan daripada infotainmen hingga keselamatan.
Ciri paling menonjol ialah sistem sensor yang merangkumi radar, kamera, sensor ultrasonik dan juga sistem lidar Luminar — menjadikan EX90 sebagai model Volvo pertama yang bersedia untuk pemanduan autonomi secara berperingkat. Sensor lidar ini membolehkan pengesanan objek dalam gelap pada jarak sehingga 250 meter, termasuk bahaya kecil seperti tayar yang terlepas di jalan raya.

Mengutamakan Keselamatan Dalam Dan Luar Kenderaan
EX90 juga dilengkapi sistem Driver Understanding yang canggih, disenaraikan oleh TIME sebagai salah satu Best Inventions of 2024. Sistem ini menggabungkan kamera dalaman, sensor stereng dan perisian khas untuk memantau tahap fokus dan kesediaan pemandu. Bukan itu sahaja, sistem ini juga boleh memberi amaran, menghentikan kenderaan secara selamat dan menghubungi bantuan kecemasan.
Selain itu, sistem Occupant Sensing dalam EX90 direka untuk mengelakkan insiden yang melibatkan penumpang yang tertinggal dalam kereta. Ia menggunakan radar beresolusi tinggi yang mampu mengesan pergerakan sekecil nafas bayi tidur — dan akan menghalang kenderaan daripada dikunci jika masih terdapat individu atau haiwan peliharaan di dalamnya.
Pengalaman Pemanduan Yang Dipertingkat
Bahagian dalaman EX90 dilengkapi paparan pusat bersaiz 14.5 inci, menggunakan platform Snapdragon Cockpit. Antaramuka ini direka ringkas, intuitif dan menyokong saranan pintar berdasarkan corak penggunaan. Selain itu, EX90 hadir dengan paparan digital di belakang stereng serta heads-up display terbesar pernah diperkenalkan oleh Volvo.

Harga dan Tempahan Di Malaysia
Bagi yang berminat, Volvo EX90 ini ditawarkan pada harga RM442,888 (Semenanjung Malaysia) dan RM442,648 (Sabah & Sarawak). Ia hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam, serta servis digital percuma selama lima tahun. Jaminan untuk bateri voltan tinggi pula berlangsung selama lapan tahun.

Untuk maklumat lanjut atau tempahan pandu uji, pengguna boleh melayari laman web rasmi Volvo Car Malaysia, atau mengikuti mereka di Facebook dan Instagram.