UNIQLO Lancar Koleksi Istimewa UT Sempena Ulang Tahun Ke-45 Mobile Suit Gundam – Turut Hadir Dengan Projek AR Eksklusif

April 30, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Sempena ulang tahun ke-45 siri ikonik Mobile Suit Gundam, UNIQLO bakal melancarkan koleksi istimewa UT (UNIQLO T-shirt) pada 5 Mei 2025.

Menerusi koleksi ini, UNIQLO menampilkan rekaan grafik yang memperingati warisan dan populariti anime gergasi ini. Koleksi ini turut menampilkan projek realiti terimbuh (AR) yang membolehkan peminat menyaksikan kelibat Gundam secara maya – seolah-olah berdiri di hadapan mereka.

Koleksi edisi terhad ini memberi penghormatan kepada pelbagai generasi Gundam, termasuk ilustrasi eksklusif daripada Kunio Okawara, pereka mekanikal yang terkenal dalam membentuk identiti robot asal dalam siri tersebut.

Selain rekaan berdasarkan musim pertama Mobile Suit Gundam, koleksi ini turut menampilkan elemen visual daripada Mobile Suit Gundam SEED – yang mendapat tayangan filem pada tahun 2024 – serta siri terkini yang mencetus fenomena global, Mobile Suit Gundam: The Witch from Mercury.

UNIQLO Hadir Dengan Projek Realiti Terimbuh “Gundam Rising”

Bersempena dengan pelancaran koleksi ini, UNIQLO turut memperkenalkan satu projek AR bertajuk Gundam Rising, yang memberi penghormatan kepada episod pertama siri anime tersebut. Melalui projek ini, pengguna di seluruh dunia boleh mengalami kehadiran Gundam dalam bentuk maya melalui peranti mudah alih mereka.

Lebih menarik, pelanggan di Jepun dapat menikmati pengalaman berskala penuh dengan melihat Gundam bersaiz sebenar menerusi ciri AR di tujuh cawangan UNIQLO terpilih di negara itu. Kandungan baharu akan ditambah pada Isnin, 5 Mei, menjadikan pengalaman ini lebih dinamik dan berterusan.

Untuk merasai sendiri keunikan projek ini, pengguna boleh mengakses laman khas di pautan berikut:
🔗 https://s.uniqlo.com/4jeR31M

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd