Hasbro Memperkenalkan Monopoly Malaysia Edisi Baharu – Sempena Ulang Tahun Ke-90
Lina Rosli
Bagi anda penggemar mainan papan klasik dari Hasbro iaitu Monopoly, pastikan anda tidak ketinggalan dalam mendapatkan Monopoly Malaysia edisi baharu ini pada harga RM99.90 untuk setiap kotak.
Untuk pengetahuan anda, pengenalan Monopoly Malaysia edisi baharu ini adalah selari dengan ulang tahun ke-90 Hasbro. Menerusi edisi ini, Hasbro menampilkan butiran-butiran yang lebih penuh dengan identiti tempatan selain turut hadir dengan elemen moden yang lebih menarik.


Antaranya, pada laluan dengan nilai tanah yang lebih tinggi telah ditukar kepada mercu tanda terkenal yang baharu – seperti Menara Kuala Lumpur, Taman Negara Bako, Merdeka Square, KLCC dan beberapa yang lain.
Bukan itu sahaja, Monopoly Malaysia kali ini hadir dengan visual yang dikemaskini, token permainan yang lebih besar dan kukuh, serta rumah dan hotel yang bersaiz lebih besar – semuanya untuk memberi pengalaman bermain yang lebih puas dan menyeronokkan.
Malah, kotak simpanan untuk bank juga lebih teratur. Jadi, anda tidak perlu lagi risau kepingan wang atau kad berselerak selepas sesi permainan.
Bagi yang berminat, di Malaysia, edisi klasik ini dijual pada harga RM99.90, dan boleh didapati di kedai-kedai permainan seperti Toys “R” Us serta platform atas talian mereka.