Sushi King Tampil Dengan Wajah Baharu, Raikan 30 Tahun Warisan Kulinari Jepun Di Malaysia
Lina Rosli
Sushi King, rangkaian restoran kaiten sushi terkemuka di Malaysia, meraikan ulang tahunnya yang ke-30 dengan pelancaran wajah dan pengalaman baharu yang lebih segar, berani dan moden.
Selari dengan sambutan tiga dekad sejak penubuhannya pada tahun 1995, Sushi King terus komited dalam menyajikan hidangan Jepun halal yang asli dan mampu dinikmati oleh rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang.
Sejak mula beroperasi, Sushi King telah berkembang menjadi jenama terkemuka dalam landskap kulinari Malaysia, menampilkan pelbagai pilihan menu seperti sushi, bento, donburi, ramen dan udon.


Dan pada tahun 2016, semua cawangan Sushi King telah menerima pensijilan halal, sekaligus mengukuhkan komitmen syarikat terhadap keterangkuman dan kepercayaan pelanggan.
Menurut Pengasas Sushi King Sdn Bhd, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Fumihiko Konishi, ulang tahun ke-30 ini bukan sahaja menandakan perjalanan penuh makna bersama pelanggan Sushi King, tetapi juga membuka lembaran baharu untuk jenama Sushi King.
Pelancaran rasmi sambutan ini berlangsung di Putrajaya dengan pengenalan rekaan baharu kedai serta menu terkini yang merangkumi hidangan seperti Yakimono dan Agemono, di samping lebih 60 jenis sushi yang disajikan melalui tali kaiten sepanjang 100 meter. Lebih 200 variasi hidangan ditawarkan secara keseluruhan, memberikan pilihan yang meluas kepada para pelanggan.

Acara turut diserikan dengan demonstrasi langsung oleh Ketua Chef Sushi King, Takeshi Torita, yang menunjukkan teknik penghirisan ikan salmon secara profesional. Berasal dari Tokyo dan berpengalaman lebih 12 tahun bersama Sushi King, Chef Takeshi merupakan antara tenaga penting yang menyumbang kepada standard tinggi penyediaan hidangan di semua cawangan.
Sebagai sebahagian daripada inovasi terkini, Sushi King turut memperkenalkan menu baharu berasaskan wasabi, yang diberi nafas moden dan dijadikan bintang utama untuk promosi edisi terhad sempena ulang tahun ini.

Transformasi berperingkat juga dijadualkan sepanjang tahun 2025, termasuk pembukaan 10 lokasi baharu serta rekaan dalaman kedai yang lebih segar dan futuristik, sejajar dengan arah tuju strategik syarikat ke arah memperluas pengaruh dalam industri makanan halal tempatan.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman rasmi www.sushi-king.com atau ikuti laman media sosial rasmi Sushi King di Instagram dan Facebook.