Honda Malaysia Memanggil Semula Lebih 87,000 Unit Kenderaan Untuk Penggantian Pam Bahan Api
Lina Rosli
Honda Malaysia mengumumkan yang mana sebanyak 87,490 unit kenderaan Honda telah dipanggil semula bagi tujuan melaksanakan penggantian pam bahan api – ini sebagai langkah berjaga-jaga terhadap potensi kerosakan.
Senarai model kenderaan yang terlibat untuk penggantian pam bahan api ini termasuklah:
- Accord (2013 – 2017)
- BR-V (2017 – 2018)
- City (2014 – 2019) dan City Hybrid (2018, 2019)
- Civic (2017, 2018; dan model terbaru 2023, 2024)
- CR-V (2018 – 2020; serta 2024)
- HR-V (2015 – 2018)
- Jazz (2015 – 2020) dan Jazz Hybrid (2018)
- Odyssey (2017 – 2019)
Menurut Honda Malaysia, masalah utama melibatkan impeller dalam pam bahan api yang boleh membengkak selepas direndam dalam bahan api untuk tempoh lama. Dan hal ini sekaligus boleh menyebabkan enjin tidak dapat dihidupkan atau terhenti secara tiba-tiba semasa pemanduan.

Selain itu, sebanyak 3,417 unit model Civic (2023, 2024) dan CR-V (2024) turut terkesan akibat isu pam bahan api bertekanan tinggi yang berisiko retak selepas digunakan dalam tempoh lama. Keadaan ini boleh menyebabkan kebocoran bahan api atau bau petrol semasa memandu atau ketika berhenti.
Honda Malaysia memaklumkan bahawa semua pelanggan terlibat akan menerima surat pemberitahuan dan juga boleh menyemak status kenderaan mereka melalui aplikasi Honda Touch.
Untuk pemilik kenderaan yang terlibat, Honda Malaysia turut menyatakan bahawa penggantian pam bahan api ini akan dilakukan secara percuma yang mana kos penggantian ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak Honda Malaysia.

Tambah Honda Malaysia juga, stok alat ganti bagi setiap kenderaan yang terlibat akan disediakan secara berperingkat di pusat servis Honda yang bertauliah.
Harus diingatkan, bagi anda yang terlibat, pastikan anda terus menghubungi pengedar sah Honda dan melakukan temujanji dengan segera sebaik sahaja menerima notis rasmi dari Honda Malaysia.