Mengapa Anda Menunggu Lama Di Unit Kecemasan?
Lina Rosli
Jabatan Kecemasan merupakan salah satu bahagian paling sibuk di hospital. Ia menjadi tempat tumpuan pesakit yang memerlukan rawatan segera, ahli keluarga yang risau menanti berita, serta barisan staf perubatan yang berdedikasi memberikan rawatan terbaik.
Dalam suasana yang penuh tekanan ini, pengalaman menunggu untuk mendapatkan rawatan, sama ada untuk rawatan segera, kemasukan ke wad atau penamatan khidmat rawatan, boleh menjadi sesuatu yang mencabar – terutamanya bagi mereka yang sedang mengalami kesakitan atau kecemasan.

Sudah tentu ramai tertanya-tanya,“Mengapa perlu tunggu lama sedangkan ini Jabatan Kecemasan?” Soalan ini sangat wajar.
Oleh itu, dalam artikel ini kita akan menjelajahi beberapa faktor utama yang mempengaruhi waktu menunggu di Jabatan Kecemasan, serta memberikan pemahaman mendalam tentang proses yang berlaku di sebaliknya.
“Berapa lama harus saya menunggu?”
Salah satu pertanyaan yang sering kali ditanyakan oleh pesakit dan keluarga adalah berapa lama mereka perlu menunggu sebelum menerima perhatian perubatan. Waktu menunggu ini berbeza-beza mengikut situasi dan ini dipengaruhi oleh beberapa faktor.
Pertama, triaj (triage) iaitu suatu proses penilaian kecemasan yang memberikan keutamaan kepada pesakit dengan keadaan yang lebih serius. Oleh kerana itu, pesakit dengan situasi yang tidak mengancam nyawa mungkin perlu menunggu lebih lama.
Kemudian, faktor-faktor seperti:
- bilangan kakitangan
- peralatan perubatan
- ruang yang tersedia juga memainkan peranan penting dalam menentukan waktu menunggu
Dalam sesetengah situasi, Jabatan Kecemasan mungkin menghadapi tekanan yang tinggi, seperti ketika kita berada dalam situasi Pandemik COVID 19, menyebabkan peningkatan waktu menunggu.

Apa yang dikatakan ‘kecemasan’?
Kecemasan dari segi perubatan merujuk kepada keadaan kesihatan yang memerlukan rawatan dan penjagaan segera. Ini mungkin mencakupi gejala yang membahayakan nyawa atau keadaan yang memerlukan perhatian rawatan segera.
Persoalan di sini bila pesakit harus pergi ke Jabatan Kecemasan? Jika anda mengalami gejala seperti sakit dada yang teruk, masalah pernafasan yang akut atau kecederaan serius, ini adalah isyarat bahawa anda harus mendapatkan bantuan rawatan dengan segera.
Penting untuk memahami perbezaan antara masalah kesihatan yang memerlukan perhatian segera dan masalah yang boleh ditangguhkan. Untuk kes-kes yang tidak mengancam nyawa atau kronik, mendapatkan nasihat dari pakar kesihatan seperti doktor keluarga (family medicine doctor) atau klinik pesakit-luar (outpatient department) mungkin menjadi pilihan yang lebih sesuai.
Triaj dan kategori tiga warna
Pemahaman terhadap proses yang berlaku di Jabatan Kecemasan adalah penting untuk mengelakkan salah faham mengapa terjadinya kelewatan dalam pemberian rawatan untuk sesetengah kes.
Proses bermula dengan pendaftaran pesakit dan seterusnya melalui proses saringan atau triaj, iaitu suatu penilaian yang membantu menentukan sejauh mana tahap keseriusan dan secepat mana pesakit tersebut harus diberikan rawatan.

Setelah triaj dilakukan, pesakit akan dibahagikan secara umumnya kepada 3 zon atau tahap.
Zon Merah
Zon merah atau kritikal, dimana rawatan serta merta perlu diberikan kepada pesakit untuk mengelakkan kemudaratan dari berlaku. Contoh kes-kes yang kirtikal termasuklah serangan jantung, jantung terhenti secara tiba-tiba, serangan akut pernafasan yang serius, kecederaan yang teruk atau pun penyakit yang mengalami kelecuran yang serius akibat kebakaran.
Zon Kuning
Zon kuning atau separa kritikal, di mana rawatan akut dalam masa terdekat juga perlu diberikan untuk mengelakkan situasi yang lebih serius dari berlaku. Contoh-contoh kes termasuk sakit perut yang serius, pesakit yang disyaki mengalami keracunan, peakit yang mengalami gejala kekurangan gula dalam badan (hypoglycaemia) ataupun pesakit trauma yang signifikan.
Zon Hijau
Zon hijau atau tidak kritikal, di mana pesakit memerlukan perhatian dan rawatan dari doktor, tetapi tiada tanda-tanda yang memerlukan rawatan kecemasan harus diberikan. Contoh-contoh kes termasuklah demam biasa, muntah dan cirit, sakit perut yang tidak serius serta kemalangan yang tidak serius.
Pesakit di zon hijau inilah yang sering terkena salah faham kerana lewat menanti giliran untuk berjumpa doktor.
Waktu menunggu berlandaskan keadaan pesakit
Sudah semestinya dengan sumber yang terhad, keutamaan harus diberikan kepada pesakit-pesakit di zon merah dan kuning. Mengikut protokol oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pesakit-pesakit di zon hijau harus dilihat oleh doktor dalam masa 90 minit. Doktor dan pasukan perubatan ini kemudian menilai setiap kes dengan teliti sebelum membuat keputusan mengenai rawatan yang sesuai.
Pasukan perubatan di Jabatan Kecemasan bukan sahaja terdiri daripada doktor pakar dan doktor muda, malahan terdapat staf-staf lain yang akan membantu memberikan rawatan yang inklusif terhadap pesakit seperti jururawat, penolong pegawai perubatan (PPP), pembantu perubatan kesihatan (PPK) dan kakitangan sokongan lain. Mereka bekerja bersama-sama untuk menyediakan penjagaan yang menyeluruh demi keselamatan dan kesjahteraan pesakit.

Faktor-faktor lain selain sistem triaj
Walaupun waktu menunggu di Jabatan Kecemasan memerlukan kesabaran, pemahaman terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi waktu menunggu adalah kunci untuk melalui pengalaman ini dengan lebih baik.
Proses triaj, kekangan sumber manusia, dan pemahaman individu terhadap apakah itu kecemasan sendiri adalah elemen-elemen yang membantu anda untuk melalui proses rawatan di Jabatan Kecemasan dengan lebih tenang dan bermakna.
Ingatlah bahawa Jabatan Kecemasan adalah tempat di mana setiap pesakit akan diberikan perhatian yang terbaik berdasarkan keperluan mereka. Walaupun proses menunggu adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan, keselamatan dan kebajikan pesakit tetap menjadi keutamaan utama di Jatan Kecemasan.
Sebagai masyarakat umum, kita juga perlu menyokong usaha-usaha untuk menjadikan Jabatan Kecemasan sebagai sebuah jabatan yang benar-benar efisien dalam memberi perawatan; keutamaan dan penjagaan segera perlu diberikan kepada pesakit yang benar-benar memerlukan rawatan kecemasan. Maklumbalas yang membina dari orang awam adalah dialu-alukan untuk menambahbaik proses dan pengalaman pesakit di Jabatan Kecemasan.
Artikel oleh: Dr. Syed Farid Almufazal Syed Salim, Doktor Pakar Kecemasan & Ketua Unit Kecemasan di Columbia Asia Hospital – Seremban