Pusat Perubatan Sunway Melancarkan Perkhidmatan Genomik Bagi Memperkukuhkan Usaha Penjagaan Kesihatan Peribadi Di Malaysia
Lina Rosli
Pusat Perubatan Sunway (SMC) merintis langkah baharu dalam sektor kesihatan negara dengan pelancaran Perkhidmatan Perubatan Genomik, yang terletak di Jabatan Pemeriksaan Kesihatan terbaharu mereka.
Ini sekaligus menjadikan SMC sebagai hospital pertama dalam Kumpulan Penjagaan Kesihatan Sunway yang menawarkan perkhidmatan diagnostik genomik secara menyeluruh dan bersepadu.

Perkhidmatan ini menggabungkan kemajuan sains genomik dengan rawatan klinikal – yang mana ia hadir dengan pendekatan penjagaan kesihatan yang bersifat peribadi dan prediktif kepada rakyat Malaysia. Inisiatif ini bertujuan merungkai keperluan pesakit melalui diagnostik awal dan rawatan yang disesuaikan, khususnya dalam menangani peningkatan kes penyakit kronik dan penyakit genetik yang jarang dikesan.
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi, kadar diabetes dan hipertensi dalam kalangan rakyat Malaysia kekal tinggi, manakala banyak kes penyakit genetik masih belum dikenal pasti akibat kekangan dalam akses kepada ujian lanjutan.
Oleh itu, perkhidmatan genomik yang diperkenalkan oleh SMC berperanan menutup jurang ini melalui saringan seperti penjujukan keseluruhan eksom, saringan risiko kanser keturunan, biopsi cecair, dan diagnostik penyakit jarang ditemui.

Sebagai contoh, bagi keluarga yang terlibat dalam apa yang dikenali sebagai “pengembaraan diagnostik”, khususnya dalam kes pediatrik, perkhidmatan ini menawarkan peluang untuk mendapat diagnosis tepat dalam jangka masa lebih singkat – mempercepatkan rawatan dan mengurangkan beban emosi.
Selain penjagaan pesakit, inisiatif ini turut menyasarkan ketercapaian lebih luas kepada masyarakat Malaysia melalui pilihan konsultasi fizikal atau atas talian, dan boleh diakses melalui rujukan doktor atau pertanyaan terus daripada pesakit.