Pure Mylk Lancar The Mylky Way – Hab Inovasi Minuman Berasaskan Tumbuhan Pertama di Malaysia
Lina Rosli
Pure Mylk telah melancarkan The Mylky Way, iaitu sebuah hab inovasi pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan formulasi lestari, ujian dan pengeluaran berskala di bawah satu bumbung.
Bagi yang tidak mengetahui, Pure Mylk merupakan syarikat pemula Malaysia yang menjadi peneraju pengeluaran minuman berasaskan tumbuhan – turut berfungsi sebagai syarikat pengeluar kontrak pertama bagi pelbagai jenis “mylk” seperti oat, beras, kelapa, badam dan kacang soya.
Dengan ini, Pure Mylk bukan sahaja menghasilkan produk berasaskan tumbuhan berkualiti tinggi, malah turut menyediakan penyelesaian menyeluruh untuk jenama-jenama F&B, usahawan kesihatan, serta syarikat serantau yang ingin mencipta dan memasarkan produk mereka sendiri. Syarikat ini turut memfokuskan pada teknologi mampan, pembangunan ramuan berfungsi serta menyokong penyertaan dalam inisiatif keselamatan makanan serantau.

The Mylky Way bukan sekadar kemudahan pengeluaran – ia merupakan ekosistem kolaboratif yang menggabungkan sains makanan, kreativiti dan prinsip ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus). Ia direka untuk menyokong inovator dari pelbagai peringkat, iaitu dari syarikat kecil ke syarikat gergasi yang mana mereka akan membantu membangunkan produk dari peringkat idea hingga ke pelancaran pasaran, tanpa keperluan pelaburan infrastruktur yang tinggi.
Kemudahan ini merupakan yang pertama di Asia Tenggara yang menggabungkan pemprosesan enzimatik dan teknologi aseptik VTIS. Pemprosesan enzimatik membantu mempertingkat kestabilan protein dan rasa semula jadi tanpa bahan tambahan tiruan.
Sementara itu, sistem VTIS menyuntik wap secara langsung untuk pensterilan pantas, diikuti penyejukan segera – membolehkan produk tahan lama tanpa keperluan rantai sejuk, sekaligus mengurangkan jejak karbon.
Dibina dalam dua bangunan khas, The Mylky Way merangkumi:
- Makmal R&D dan mikrobiologi
- Loji perintis untuk ujian dan pensampelan
- Ruang pameran dan inkubasi untuk SME
- Pusat latihan untuk membangunkan bakat baharu dalam teknologi makanan

Pure Mylk turut bekerjasama strategik dengan Tetra Pak, peneraju global dalam penyelesaian pembungkusan makanan dan Novonesis, syarikat biosains yang memfokuskan pada ramuan berfungsi. Kerjasama ini membolehkan jenama tempatan mengakses inovasi bertaraf dunia dan memperkukuh rantaian bekalan serta daya saing pasaran.
Selari dengan komitmen ESG, produk Pure Mylk menumpukan kepada ramuan mesra biodiversiti seperti oat, beras dan kelapa, serta menghasilkan formulasi bebas rantai sejuk, sejajar dengan matlamat perubahan iklim dan keselamatan makanan negara.

Bagi yang berminat untuk menerokai The Mylky Way, ia akan dibuka untuk lawatan khas dan sesi penemuan menjelang suku ketiga 2025. Dalam masa terdekat, Pure Mylk juga bakal memperkenalkan produk generasi baharu termasuk minuman ambient yogurt dan rangkaian berfungsi, serta menyokong program pemakanan sekolah dan perbincangan dasar makanan ASEAN.