IKEA Mula Memperkenalkan Beg Pembungkusan Skru Dan Bolt Baharu – Dihasilkan Menggunakan Kertas Menggantikan Plastik

June 18, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Bagi sesiapa yang pernah membeli perabot IKEA, tentu anda sudah terbiasa dengan beg kecil berisi skru, bolt dan kunci Allen yang mana ia biasanya dibungkus di dalam plastik jernih yang memudahkan pemasangan.

Namun, bermula tahun fiskal 2025 (FY25), IKEA mengambil langkah baharu dalam usaha kelestarian dengan menggantikan beg plastik ini dengan beg berasaskan kertas.

Langkah ini dijangka mengurangkan penggunaan plastik sebanyak 1,400 tan setahun dan merupakan sebahagian daripada inisiatif Plastics Out Agenda, iaitu pelan IKEA untuk menghapuskan pembungkusan plastik pengguna menjelang tahun 2028. Ia juga sejajar dengan matlamat lebih besar IKEA untuk hanya menggunakan bahan boleh diperbaharui dan boleh dikitar semula dalam semua pembungkusan.

Bukan sekadar itu, apa yang menarik adalah beg bungkusan daripada kertas ini juga dihasilkan menggunakan sisa kayu daripada proses pengeluaran produk dan perabot IKEA. Dan ini sekaligus memperkukuhkan pendekatan ekonomi kitar semula IKEA secara menyeluruh.

Walau bagaimanapun, menurut IKEA juga, pada beg pembungkusan yang baharu ini, ia masih mengandungi lapisan plastik nipis untuk memastikan ketahanan bungkusan – namun plastik ini masih tetap boleh dikitar semula.

Dalam pada masa yang sama, IKEA kini sedang mengkaji kemungkinan lain yang boleh menggantikan lapisan plastik sedia ada ini dengan bahan yang boleh diperbaharui pada masa akan datang.

Setakat ini, beg berasaskan kertas ini telahpun digunakan secara berperingkat, bermula dengan koleksi baharu seperti STOLKHOLM 2025 dan beberapa produk popular lain seperti PAX dan KALLAX.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd