Hyundai Kini Urus Sendiri Operasi Di Malaysia Menerusi Entiti Rasmi Tempatan – Hyundai Motor Malaysia
Lina Rosli
Hyundai Motor Company atau HMC kini melangkah ke fasa baharu di Malaysia menerusi penubuhan entiti rasmi tempatan mereka iaitu Hyundai Motor Malaysia (HMY).
Melalui penubuhan ini, ia sekaligus menandakan perubahan penting dalam pendekatan operasi Hyundai di Malaysia yang mana jika sebelum ini edaran kenderaan mereka adalah melalui pihak ketiga iaitu Sime Motors, kini nampaknya ia akan diuruskan sepenuhnya oleh prinsipal global Hyundai.
Menurut Hyundai, langkah penubuhan ini juga turut menyatakan komitmen mereka terhadap pasaran Malaysia – sekaligus memperkukuhkan hubungan jenama dengan pelanggan selain turut menyesuaikan penawaran produk dan perkhidmatan mengikut keperluan pengguna tempatan.

Ibu Pejabat Hyundai Motor Malaysia Di Menara Affin @ TRX
Bergerak ke hadapan, Hyundai kini bertanggungjawab sepenuhnya ke atas strategi untuk pemasaran dan jualan produk dan perkhidmatan mereka. Oleh itu, Hyundai telah menubuhkan pasukan tempatan yang mengelolakan urusan ini – akan beroperasi di ibu pejabat baharu di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur.
Hyundai turut menyatakan yang mana mereka menyasarkan bilangan tenaga kerja akan mencecah 100 orang menjelang akhir tahun 2025.
Dengan pengurusan operasi secara langsung, Hyundai kini bertanggungjawab sepenuhnya terhadap strategi jenama, pemasaran, jualan dan pengalaman pengguna di Malaysia. Sebuah pasukan tempatan telah dibentuk di ibu pejabat baharu mereka di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur, dengan sasaran tenaga kerja mencecah 100 orang menjelang akhir 2025.

Malaysia Sebagai Pasaran Utama Di Asia Tenggara
Menurut Jahabarnisa Haja Mohideen, Pengarah Urusan Hyundai Motor Malaysia, Malaysia merupakan pasaran penumpang terbesar di ASEAN dengan 35% permintaan, selain mencatat pertumbuhan ekonomi yang stabil. Faktor ini menjadikan Malaysia sebagai lokasi ideal untuk pelaburan jangka panjang Hyundai dalam sektor automotif.
Dalam perkembangan berkaitan, Sime Motors yang sebelum ini mengendalikan operasi Hyundai di Malaysia akan terus memainkan peranan penting sebagai rakan pengedar bagi menyokong kesinambungan jualan dan perkhidmatan selepas jualan.