Swarovski Chroma Twist – Koleksi Perhiasan Boleh Ubah Yang Lebih Lestari Dan Versatil
Lina Rosli
Dalam dunia fesyen yang semakin memfokuskan kepada prinsip kelestarian dan kepelbagaian gaya, Swarovski tampil dengan pendekatan baharu yang menarik melalui koleksi terbarunya, Chroma Twist.
Dihasilkan dengan prinsip reka bentuk bulat (circular design) sebagai teras utama, koleksi ini bukan sahaja menonjol dari segi estetik, malah turut menyampaikan komitmen terhadap penggunaan semula, pengurangan pembaziran dan ketahanan jangka panjang.

Reka Bentuk Yang Bertindak Balas Terhadap Gaya Dan Alam Sekitar
Direka oleh Giovanna Engelbert, Pengarah Kreatif Global Swarovski, Chroma Twist mengambil inspirasi daripada Circular Design Framework yang dibangunkan bersama Centre for Sustainable Fashion, sebuah pusat penyelidikan terkemuka di University of the Arts London.
Rangka kerja ini memberi tumpuan kepada tiga perkara utama iaitu mengurangkan sisa, mengekalkan fungsi penggunaan dan memanjangkan hayat sesuatu rekaan.


Melalui pendekatan ini, setiap produk dari koleksi Chroma Twist dibangunkan agar lebih mesra alam tanpa mengabaikan estetik keanggunan. Menggunakan Swarovski ReCreated Crystals dan logam kitar semula digunakan sebagai bahan utama — koleksi ini bergerak ke satu lagi dimensi untuk kategori barang perhiasan mewah yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar.
Satu Reka Bentuk, Dua Gaya
Apa yang menjadikan Chroma Twist lebih menonjol berbanding koleksi terdahulu adalah keupayaannya untuk berubah bentuk secara fizikal – yang mana si pemakan boleh memusing, membalikkan atau mengubah posisi perhiasan ini untuk menampilkan warna kristal yang berbeza.
Ini bukan sahaja memberi nilai praktikal, tetapi juga menjadikan setiap rekaan lebih fleksibel dan boleh digayakan dalam pelbagai suasana.

Contohnya:
- Sebuah loket boleh dipusing untuk menampilkan kristal biru di satu sisi dan merah jambu di sisi yang lain.
- Cincin ‘cocktail’ pula menampilkan potongan batu cushion cut yang boleh bertukar antara kristal merah jambu lembut dan hijau zamrud.
- Rantai leher sepanjang satu barisan pula boleh bertukar warna dari merah jambu ke hijau hanya dengan satu gerakan mudah.


Dengan fungsi boleh ubah ini, pengguna kini boleh memiliki dua gaya dalam satu item — menjadikan ia lebih lestari dari sudut penggunaan jangka panjang dan kebolehan beradaptasi kepada pelbagai gaya pakaian.