Ini 5 Jenama Kosmetik Halal Dari Indonesia Di Bawah Payung Paragon – Wardah, Kahf, Make Over

June 19, 2025
Kecantikan

Lina Rosli

Bila bercakap tentang kosmetik halal dari Indonesia, pastinya akan ada satu nama yang bermain di fikiran anda – dan sudah tentu jenama yang dimaksudkan adalah Wardah Beauty.

Tahukah anda, sebenarnya, selain Wardah terdapat beberapa lagi jenama kosmetik halal yang turut berada di bawah payung yang sama?

Untuk pengetahuan anda, Wardah merupakan jenama kecantikan dan kosmetik yang bergerak di bawah syarikat kosmetik terbesar di Indonesia iaitu Paragon Technology And Innovation.

Secara tahun 1985, Paragon telah mengembangkan rangkaian produknya untuk memenuhi pelbagai segmen pengguna – daripada remaja hingga profesional dan juga lelaki moden.

Dan antara lima jenama kosmetik popular yang diperkenalkan termasuklah Wardah, Make Over, Emina, Instaperfect dan Kahf. Dan apa yang menariknya, kesemua jenama ini diperakui halal, bebas dari bahan meragukan dan dihasilkan dengan standard kebersihan serta etika yang tinggi.

Menurut Paragon, mereka sebenarnya bukan sekadar pengeluar kosmetik — tetapi sebuah syarikat yang berteraskan misi sosial, dengan matlamat “mencipta kebaikan yang lebih besar untuk masyarakat melalui inovasi.”

Sejak penubuhannya, Paragon komited untuk menghasilkan produk yang bukan sahaja berkualiti dan halal, tetapi juga memberi impak positif kepada komuniti, pendidikan dan pembangunan wanita. Dengan pendekatan yang menggabungkan teknologi, nilai kemanusiaan dan keberkesanan produk, Paragon terus berkembang sebagai kuasa utama dalam industri kecantikan halal serantau.

#1 Wardah

Untuk jenama Wardah, sememangnya nama ini sudah tidak asing dalam kalangan penggemarnya di Malaysia.

Secara umumnya, Wardah telah menjadi pelopor kosmetik halal di Indonesia dan telah membina reputasi kukuh di pasaran Asia Tenggara. Produk mereka bukan sahaja halal, tetapi juga mesra kulit, bebas alkohol dan tidak diuji ke atas haiwan.

Menjadikan jenama ini lebih versatil, Wardah menawarkan pelbagai produk dari asas solekan, penjagaan kulit, hingga produk kecantikan harian. Antara produk yang sering menjadi pilihan ramai termasuklah:

  • Wardah Lightening Liquid Foundation – Alas solekan ringan dengan hasil semula jadi dan kemasan cerah.
  • Wardah Matte Lip Cream | Wardah Glasting Lip Cream – Dua pilihan gincu cecair iaitu kemasan matte dan kemasan berkilau dengan pilihan warna sesuai semua tona kulit.
  • Wardah Perfect Bright Creamy Foam – Pencuci muka harian dengan formula mencerahkan kulit secara lembut.
  • Wardah White Secret Night Cream – Krim malam untuk menyerlahkan tona kulit dan memulihkan kulit semasa tidur.
  • Wardah UV Shield Active Protection Serum SPF 50 – Pelindung matahari dengan perlindungan tinggi dan tekstur ringan.

#2 Make Over

Make Over hadir dengan pendekatan lebih premium dan profesional. Digemari jurusolek profesional dan peminat kecantikan urban, Make Over memberi penekanan pada kemasan yang tahan lama, lebig berpigmen dan menampilkan reka bungkusan yang lebih moden.

Membezakannya dengan jenama Wardah, fokus audiens Make Over yang mungkin memilih jenama solekan yang tampak lebih berani. Sebaliknya, Wardah lebih menekankan konsep kecantikan bersih dan semula jadi, sesuai untuk kegunaan harian.

  • Make Over Powerstay Matte Powder Foundation – Bedak asas tahan lama dengan kemasan matte ringan dan selesa.
  • Make Over Hydrastay Lite Glow Cushion – Alas cushion yang melembapkan dan memberi efek bersinar yang semula jadi.
  • Make Over Brow Styler Eye Definer – Pensil kening dua hujung untuk definisi dan isi kening.
  • Make Over Multifix Matte Blusher – Pemerah pipi berbentuk stik dengan tekstur krim dan kemasan matte yang mudah diratakan.

#3 Instaperfect

Sebagai sub-jenama premium di bawah Wardah, Instaperfect diwujudkan untuk memenuhi keperluan wanita moden yang aktif dan sentiasa bergerak. Setiap produknya direka untuk kemudahan penggunaan pantas tanpa mengorbankan gaya dan kualiti.

Estetika pembungkusan yang minimal dan elegan menjadikan Instaperfect pilihan ramai wanita bandar yang mahukan solekan on-the-go dengan hasil profesional.

  • Instaperfect Matte Fit Powder Foundation – Bedak asas padat yang sesuai untuk kegunaan harian dengan kemasan matte.
  • Instaperfect Gloss Chic Lip Crayon – Lip crayon lembap dengan warna terang dan kemasan berkilau.
  • Instaperfect 3D Brow Mascara – Maskara kening praktikal untuk membentuk dan mengisi kening dengan mudah.
  • Instaperfect Porefection Skin Primer – Primer untuk membantu liang tampak lebih kecil dan solekan lebih tahan.

#4 Emina

Lebih memfokuskan kepada pengguna yang lebih muda. Emina hadir sebagai jenama kecantikan yang ceria, ringan dan mesra remaja. Dengan pembungkusan yang comel dan pendekatan mesra kulit, Emina disasarkan kepada pengguna muda dan mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia solekan serta penjagaan kulit.

Rangkaian produknya direka agar mudah digunakan, sesuai untuk kulit sensitif dan dijual pada harga berpatutan.

  • Emina Bright Stuff Face Wash – Pencuci wajah harian yang lembut dengan kandungan ekstrak summer plum untuk kulit cerah dan bersih.
  • Emina Cheek Lit Cream Blush – Pemerah pipi jenis krim mudah sapu untuk kesan semula jadi dan segar.
  • Emina Sun Battle SPF 30 PA+++ – Produk pelindung matahari yang ringan tanpa rasa melekit, sesuai untuk kulit yang halus.
  • Emina Ms. Pimple Acne Solution Spot Gel – Gel rawatan bintik jerawat yang cepat menyerap dan membantu mengurangkan radang.

#5 Kahf

Berlainan daripada yang lain, Kahf memfokuskan kepada kepada penjagaan diri lelaki. Daripada pembersih muka hinggalah krim janggut dan wangian, semua produk Kahf diformulasi untuk keperluan lelaki moden yang mahukan penjagaan kulit yang ringkas, maskulin dan halal. Ia juga semakin mendapat tempat dalam kalangan lelaki muda yang aktif dan mementingkan penampilan.

  • Kahf Face Wash – Oil and Acne Care – Pencuci muka dengan bahan aktif untuk mengawal minyak dan merawat jerawat.
  • Kahf Hair and Body Wash – Sabun 2-dalam-1 untuk rambut dan badan, sesuai untuk gaya hidup praktikal.
  • Kahf Soothing Oud Eau de Toilette – Wangian lelaki dengan aroma mewah, segar dan tahan lama.
  • Kahf Skin Energizing and Brightening Moisturizer – Pelembap ringan yang membantu menyegarkan kulit kusam.

Jadi apakah pendapat and tentang jenama-jenama kecantikan dan solekan di bawah payung Paragon ini? Jika anda mungkin sedang mencari produk kecantikan halal yang diyakini dan berkualiti, jenama-jenama di bawah Paragon ini mungkin boleh dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam rutin harian anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd