Mimic Octopus – Spesies Sotong Yang Boleh Meniru Bentuk, Warna Dan Pergerakan 16 Haiwan Laut Berbeza
Lina Rosli
Di perairan tropika Indo-Pasifik, terdapat seekor spesies sotong yang menonjol kerana keupayaannya menyamar sebagai pelbagai haiwan laut – iaitu Mimic Octopus atau nama saintifiknya Thaumoctopus mimicus.
Sotong spesies ini memiliki kebolehan unik yang jarang ditemui dalam dunia marin yang lain yang mana ia boleh meniru bentuk, warna, dan pergerakan sekurang-kurangnya 16 spesies haiwan lain.
Antara haiwan yang sering ditirunya termasuk ikan sebelah (flounder), ular laut, ikan pari, ketam hermit, udang mantis, dan ikan lionfish yang berbisa. Teknik penyamaran ini digunakan bagi mengelirukan pemangsa serta mendekati mangsa dengan lebih mudah.

Apa yang membezakan Mimic Octopus daripada spesies sotong lain ialah kebolehannya bukan sahaja berubah warna menggunakan kromatofor, tetapi juga menyesuaikan bentuk tubuh dan kelakuan bagi menyerupai haiwan lain.
Sebagai contoh, sotong ini mampu menanamkan sebahagian tubuhnya ke dalam pasir dan melengkungkan dua belalai seperti huruf S untuk menyerupai ular laut. Dalam penyamaran lain, ia mengembangkan lengan-lengannya dengan corak belang yang menyerupai sirip ikan lionfish sebagai usaha menakutkan pemangsa.
Selain itu, Mimic Octopus turut menggunakan pendekatan mimicry agresive, iaitu taktik menyamar sebagai pasangan atau haiwan yang tidak berbahaya bagi mendekati mangsa sebelum menangkapnya. Ini menunjukkan tahap kecerdasan dan keupayaan pemerhatian yang tinggi dalam kalangan spesies ini.
Untuk pengetahuan anda juga, Mimic Octupus ini mula dijumpai dan dikenali secara rasmi pada tahun 1998 apabila ia ditemui oleh nelayan di Indonesia. Penemuan yang agak lambat ini dipercayai berpunca daripada keupayaannya menyamar dengan begitu efektif sehingga sukar dikesan manusia. Hasil kajian lanjut mendapati spesies ini mempunyai taburan luas di perairan Indonesia, Malaysia, Filipina, New Guinea dan New Caledonia.