Sunway Sanctuary Menyambut Ulang Tahun Yang Ke-2 – Menawarkan Kediaman Komuniti Warga Emas Bertaraf Mewah

June 23, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Sunway Sanctuary, kediaman komuniti warga emas bertaraf mewah, meraikan ulang tahun kedua penubuhannya.

Sejak dilancarkan, Sunway Sanctuary terus mencatat pertumbuhan positif dengan kadar penginapan meningkat dari 30% pada tahun 2024 kepada 50% pada 2025, merangkumi 235 bilik. Misi utama kediaman ini adalah untuk menggalakkan penuaan sihat dan membina semula naratif kehidupan persaraan dengan pendekatan gaya hidup aktif dan menyeluruh.

Sempena ulang tahun ini, beberapa penambahbaikan diperkenalkan, termasuk pakej pemulihan khas seperti Post-Cardiac Recovery Package dan Advanced Assisted Care Package yang menumpukan kepada pemulihan pasca hospital dan penjagaan kejururawatan berperingkat.

Untuk Post-Cardiac Recovery, ia ditawarkan kepada pesakit yang sedang pulih daripada pembedahan jantung untuk tujuan pemulihan dan memastikan pesakit menerima sokongan khusus ketika fasa peralihan hospital ke rumah.

Manakala, pakej Advanced Assisted Care terdiri daripada pelbagai peringkat penjagaan kejururawatan dengan pilihan untuk mempunyai kemudahan yang dinaik taraf serta perhatian satu-sama-satu yang diperibadikan.

Sunway Sanctuary turut meluaskan pelancongan kesihatan antarabangsa, bekerjasama dengan Sunway Medical Centre bagi menawarkan pakej penginapan dan pemeriksaan kesihatan kepada tetamu luar negara. Sokongan ini diperkuatkan lagi dengan kehadiran doktor sepenuh masa di premis hasil kerjasama bersama Sunway Home Healthcare – menjadikan akses kepada pemeriksaan dan konsultasi lebih mudah dan terjamin.

Bukan itu sahaja, fasiliti pemulihan baharu di Wellness Centre turut dilancarkan. Ia dilengkapi teknologi pintar mesra warga emas seperti mesin latihan kekuatan HUR, rawatan terapi TENS dan ultrasound, serta alat bantu berjalan dan bar sejajar untuk meningkatkan mobiliti penghuni. Mesin-mesin ini dikawal secara digital untuk membolehkan ahli terapi mengatur secara khusus dan menyelia sesi senaman dan pemulihan.

Dalam usaha mempertingkat pengalaman penghuni, penaiktarafan teknologi turut diperkenalkan – termasuk katil elektrik boleh laras, meja atas katil, serta pemantauan vital secara dalam bilik. Sunway Sanctuary juga memperkenalkan Signature Floor, yang menawarkan gabungan keselesaan premium dan perkhidmatan peribadi untuk warga emas sofistikated yang mencari gaya hidup mewah dan menyenangkan.

Pencapaian ini diiktiraf apabila Sunway Sanctuary meraih dua anugerah utama di 13th Eldercare Innovation Awards 2025 di Singapura, iaitu Facility of the Year – Active Ageing dan Operator of the Year – Senior Living. Mereka turut disenarai pendek untuk tiga kategori lain berkaitan inovasi dalam gaya hidup aktif dan penglibatan sosial.

Dengan gabungan penjagaan kesihatan menyeluruh, fasiliti moden dan pendekatan gaya hidup aktif, Sunway Sanctuary meletakkan standard baharu dalam industri penjagaan warga emas di Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd