Ai-CHA Kini Mempunyai 300 Cawangan Di Malaysia – Bakal Menawarkan Pilihan Menu Makanan Panas

June 23, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Jenama teh dan ais krim kelahiran Indonesia, Ai-CHA, meraikan pencapaian luar biasa dengan pembukaan 300 cawangan di seluruh Malaysia dalam tempoh hanya setahun.

Menampilkan pilihan minuman pada harga mesra poket antara RM2 hingga RM7, rangkaian minuman dan pencuci mulut Ai-CHA telah mendapat sambutan hangat daripada golongan belia dan keluarga.

Sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya, Ai-CHA menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records bagi kategori “Rangkaian Ais Krim Terbanyak Dibuka Dalam Setahun” dan “Rangkaian Minuman Terbanyak Dibuka Dalam Setahun”.

Jenama ini turut menerima Consumer Choice Award daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara hasil audit bebas terhadap kualiti kedai dan tahap kepuasan pelanggan.

Mulai 30 Jun, Ai-CHA bakal melancarkan kempen “My Malaysia Magnet Collection”, yang mana pelanggan yang berbelanja RM15 ke atas akan menerima satu daripada 13 magnet peti sejuk eksklusif bertemakan negeri-negeri Malaysia – termasuk ikon seperti Gunung Kinabalu dan bunga Rafflesia.

Ai-CHA kini beroperasi di sembilan buah negara, termasuk Thailand, Vietnam, Filipina, Brunei dan pasaran asalnya, Indonesia. Di Malaysia, Ai-CHA merancang untuk memperluaskan lagi kehadiran di kawasan separa bandar dan luar bandar, terutamanya di Malaysia Timur.

Beberapa cawangan juga bakal menawarkan menu makanan panas seperti ayam goreng dan kentang goreng, sejajar dengan matlamat untuk menjadi destinasi kudapan santai pilihan ramai.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd