Apa Yang Berlaku Pada Badan Apabila Berhenti Minum Air Bergula Selama Seminggu?
Lina Rosli
Minuman manis sudah menjadi kebiasaan ramai orang – dari teh tarik di warung, minuman kopi atau matcha di pusat beli-belah, hingga ke air berkarbonat dalam peti sejuk rumah. Ramai yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada rutin harian.
Namun, apa akan berlaku sekiranya kita hentikan semua bentuk air bergula dan hanya minum air kosong selama tujuh hari?
Meskipun tempoh seminggu kelihatan singkat, badan sebenarnya sudah mula menunjukkan beberapa perubahan yang mengejutkan – baik dari segi tenaga, kesihatan kulit, hingga kepada corak tidur.

#1 Paras Tenaga Menjadi Lebih Stabil
Gula bertindak sebagai sumber tenaga segera, tetapi kesannya bersifat sementara. Selepas lonjakan tenaga berlaku, tubuh akan mengalami kejatuhan paras gula yang mendadak, menyebabkan kita berasa lebih letih, mengantuk atau tidak bermaya.
Namun, apabila pengambilan air bergula dihentikan, tubuh tidak lagi mengalami turun naik mendadak ini. Paras glukosa dalam darah menjadi lebih stabil, sekaligus membolehkan tubuh mengekalkan tenaga dalam jangka masa lebih lama tanpa perlu bergantung kepada boost dari gula.

#2 Nafsu Terhadap Makanan Dan Minuman Manis Berkurangan
Gula mempunyai kesan terhadap sistem ganjaran otak – lebih banyak kita ambil, lebih tinggi keinginan untuk menambah. Sekitar minggu pertama sugar withdrawal ini, kita mungkin mengalami simptom seperti rasa gelisah, pening atau cepat marah.
Namun selepas beberapa hari, tubuh akan mula menyesuaikan diri. Lidah menjadi lebih sensitif terhadap rasa manis, dan keinginan untuk minuman bergula mula menurun. Kajian juga menunjukkan bahawa tempoh detoks gula seperti ini mampu membantu membentuk semula corak pemakanan yang lebih sihat dalam jangka panjang.
#3 Berat Badan Mula Menurun Secara Semula Jadi
Satu gelas teh ais manis atau minuman boba boleh mengandungi antara 150 hingga 500 kalori – tanpa memberi rasa kenyang. Dengan menghentikan minuman ini, kita secara automatik mengurangkan ratusan kalori setiap hari tanpa perlu berlapar atau berpantang makanan lain.
Dalam tempoh seminggu, walaupun penurunan berat mungkin belum begitu ketara, tubuh sudah pun memulakan proses keseimbangan semula metabolisme. Ia juga menjadi langkah awal yang efektif untuk mereka yang ingin menguruskan berat badan secara sihat.

#4 Tidur Menjadi Lebih Lena Dan Berkualiti
Pengambilan gula berlebihan boleh menjejaskan hormon seperti insulin dan kortisol yang penting untuk corak tidur. Paras gula darah yang tinggi sebelum tidur juga boleh menyebabkan tidur terganggu atau kerap terjaga pada waktu malam.
Dengan menghentikan air bergula, paras hormon dalam badan menjadi lebih seimbang. Ini membantu tubuh untuk lebih mudah memasuki fasa tidur nyenyak (deep sleep), sekaligus menjadikan kita bangun pagi dengan rasa lebih segar dan bertenaga.
#5 Fungsi Organ Dalaman Mula Meningkat
Hati dan pankreas adalah dua organ yang terkesan apabila pengambilan gula terlalu tinggi – terutamanya apabila ia datang daripada fruktosa berlebihan dalam minuman manis. Dalam tempoh seminggu tanpa gula tambahan, tekanan ke atas kedua-dua organ ini mula berkurang.
Ini membolehkan hati lebih fokus kepada proses detoksifikasi semula jadi, dan pankreas tidak perlu bekerja keras menghasilkan insulin secara berterusan. Ia adalah permulaan kepada pemulihan fungsi organ dalaman yang lebih optimum.
Berhenti minum air bergula selama seminggu bukan sahaja memberi kesan kepada paras tenaga atau berat badan – malah ia turut melibatkan perubahan yang menyeluruh dari segi kesihatan fizikal dan mental.
Walaupun permulaan mungkin mencabar, tetapi ia mampu membuka jalan kepada gaya hidup yang lebih sihat dan seimbang. Anda boleh bermula hanya dengan satu langkah kecil seperti memilih air kosong berbanding air manis.