Pandang Pertama Mercedes-Benz G 580 Dengan Teknologi EQ – Harga Bermula RM958,888 Sebuah

June 26, 2025
Automotif

Lina Rosli

Selama lebih empat dekad, Mercedes-Benz G-Class mengekalkan reputasi sebagai antara kenderaan off-road paling ikonik di dunia. Dengan reka bentuk berkotak yang hampir tidak berubah sejak kemunculan pertamanya, G-Class bukan sekadar sebuah SUV – ia adalah lambang status, keteguhan dan warisan kejuruteraan Jerman.

Pada tahun ini, Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan versi terbaharu yang menggabungkan sejarah dan masa depan – Mercedes-Benz G 580 dengan EQ Technology yang juga merupakan kenderaan G-Class elektrik sepenuhnya.

Reka Bentuk Ikonik G-Class

Dari segi reka bentuk, model Mercedes G 580 EQ ini menampilkan rekaan G-Class yang ikonik – bermula dari bentuk lampu bulat, pemegang pintu sisi, bonet menegak hingga ke siluet kotak yang menjadi tanda pengenalan model ini selama ini.

Untuk versi elektrik ini, ia hadir dengan dua varian iaitu model biasa dan juga model EDITION ONE. Apa yang membezakan kedua-dua varian ini adalah kemasan luar MANUFAKTUR south sea blue magno – warna matte yang eksklusif untuk EDITION ONE. Di sekelilingnya, kelihatan jalur biru di kemasan sisi, kaliper brek berwarna biru dengan tulisan Mercedes-Benz dan rim AMG 20-inci berwarna gelap yang menyempurnakan keseluruhan estetika.

Satu lagi kelainan ialah kotak belakang berbentuk segi empat tepat di pintu belakang menggantikan tayar gantian klasik – ruang ini berfungsi untuk menyimpan kabel pengecasan dan peralatan kecil.

Dari segi aerodinamik, elemen seperti spoiler bumbung dan pelapik tiang-A baharu membantu menurunkan rintangan angin dan bunyi bising sewaktu pemanduan.

Keupayaan Off-Road Dan Prestasi Pemanduan

Apa yang paling menakjubkan mengenai G 580 ialah keupayaannya untuk kekal teguh sebagai jentera off-road walaupun tanpa enjin pembakaran dalaman. Mercedes G 580 ini dikuasakan oleh empat motor elektrik individu, dua di hadapan dan dua di belakang, yang secara kolektif menjana 432 kW kuasa bersamaan 580 hp dan tork mencapai 1,164 Nm.

Sepanjang sesi uji pandu singkat yang dilakukan di kawasan litar, kami sempat melihat keupayaan G-TURN – satu fungsi yang membolehkan kenderaan berpusing 720º di tempat hampir statik dengan hanya menekan pedal dan menggunakan paddle shifter. Ia bukan sahaja memberi kelebihan ketika di laluan sempit, tetapi juga membuktikan tahap kawalan pintar yang tidak pernah ada pada G-Class sebelum ini.

Selain itu, G 580 ini turut dilengkapi fungsi G-STEERING yang menjadikan radius pusingan jauh lebih kecil ketika memandu di laluan mencabar. Dengan bantuan torque vectoring, sistem ini mengagihkan tork secara automatik dan tepat ke setiap roda – tanpa perlu mengaktifkan differential lock secara manual.

Sewaktu sesi uji juga, Mercedes memperlihatkan fungsi crawl automatik yang aktif apabila mod “LOW RANGE” digunakan membolehkan kenderaan mengekalkan kelajuan stabil sekitar 2–8 km/j bergantung pada tetapan. Fungsi ini sangat berguna apabila menuruni cerun atau melintasi laluan berbatu kerana pemandu tidak perlu bermain brek dan pedal secara aktif.

Sistem Tenaga – Bateri, Pengecasan dan Keselamatan

Seterusnya, untuk bateri, G 580 menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 116 kWh yang membolehkan jarak perjalanan sehingga 473 km.

Meskipun saiz baterinya besar, Mercedes-Benz memastikan ia tidak menjejaskan pusat graviti atau kebolehupayaan off-road. Bateri ini dipasang terus ke dalam kerangka ladder frame yang diperkuatkan, dan diselaputi dengan pelindung bawah badan karbon setebal 26 mm. Ini bukan sahaja mengurangkan berat berbanding besi, tetapi juga memberikan perlindungan optimum daripada batu, lumpur atau air.

G 580 elektrik ini juga mampu meredah air sehingga kedalaman 850 mm – melebihi model petrol sebelumnya.

Pengecasan boleh dilakukan menggunakan AC 11 kW atau DC 200 kW, dan pengecasan pantas dari 10% hingga 80% hanya mengambil masa 32 minit. Terdapat juga mod pengecasan seperti “Standard”, “Work” dan “Home” yang boleh diprogramkan mengikut lokasi, menjadikan pengurusan tenaga lebih fleksibel.

Rekaan Dalaman – Ruang Mewah, Teknologi Canggih

Masuk ke dalam kabin G 580, aura kemewahan klasik G-Class jelas terasa. Dari pemegang tangan penumpang, corong penyaman udara empat segi, hinggalah ke kerusi kulit nappa – semuanya menampilkan ketelitian dan mutu buatan tinggi.

Model EDITION ONE yang diperlihatkan hadir dengan gabungan warna dalaman Silver Pearl dan Black, diserikan lagi dengan kemasan gentian karbon biru dan lampu suasana yang boleh dilaras mengikut mood.

Mercedes G 580 EQ ini juga menawarkan bunyi Burmester 3D Surround memberikan pengalaman akustik yang mengasyikkan, sementara sistem infotainmen MBUX dengan paparan 12.3-inci di kedua-dua panel pemandu dan media menyokong Android Auto dan Apple CarPlay.

Turut diperkenalkan ialah sistem Transparent Bonnet satu ciri yang membolehkan pemandu melihat bahagian bawah depan kenderaan secara maya ketika melalui halangan seperti batu besar atau bonggol tersembunyi. Ini sangat membantu semasa merancang laluan di kawasan tidak berturap.

Adakah Mercedes G 580 dengan EQ Technology Ini Menarik?

Jawapannya, ya. Mercedes G 580 dengan EQ Technology membuktikan bahawa peralihan kepada elektrifikasi tidak semestinya bermaksud mengorbankan identiti atau kebolehannya secara keseluruhan. Sebaliknya, Mercedes-Benz berjaya mengekalkan keaslian G-Class sambil menambah nilai melalui teknologi moden, kecekapan tenaga dan sistem pemanduan yang lebih pintar.

Dengan harga bermula RM958,888 untuk G 580 dan RM998,888 untuk edisi khas EDITION ONE (termasuk pemasangan wallbox), jelas bahawa model ini menyasarkan pelanggan premium yang mahukan sesuatu yang luar biasa.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd