Volvo XC60 Kini Menjadi Model Volvo Paling Laris Sepanjang Zaman – Menggantikan Volvo 240

June 30, 2025
Automotif

Lina Rosli

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008, Volvo XC60 telah menjadi antara model paling dikenali dalam barisan SUV global. Kini, selepas lebih 2.7 juta unit terjual, Volvo XC60 secara rasmi telah mengatasi model ikonik Volvo 240 sebagai model Volvo paling laris sepanjang zaman.

Model SUV bersaiz sederhana ini bukan sahaja mencerminkan pendekatan reka bentuk Scandinavian yang elegan, tetapi juga mengekalkan ciri utama yang menjadi tunjang kepada jenama Volvo – iaitu keselamatan, kualiti dan kebolehpercayaan.

Daripada Volvo 240 ke XC60 – Simbol Evolusi Kereta Keluarga

Pada era 1970-an hingga 1990-an, Volvo 240 dikenali sebagai pilihan utama kereta keluarga. Dengan rekaan binaan yang luas dan sistem keselamatan yang mendahului zaman, model ini menjadi simbol ketenangan fikiran bagi kebanyakan pengguna jalan raya di seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, ia juga memperkenalkan beberapa inovasi utama dalam industri automotif termasuk sistem perlindungan hentakan sisi dan kerusi penampan kanak-kanak terbina (Child Booster Cushion).

Kini, peranan kereta keluarga moden diambil alih oleh SUV seperti Volvo XC60 yang menawarkan lebih fleksibiliti dari segi rekaan dan gaya hidup. Ia menggabungkan aspek praktikal sebuah SUV dengan teknologi pemanduan moden dan sistem keselamatan termaju – menjadikannya pilihan ideal untuk keluarga masa kini.

Sejak dilancarkan pada tahun 2008, Volvo XC60 telah memperkenalkan beberapa teknologi keselamatan penting. Antaranya ialah City Safety iaitu sistem brek kecemasan automatik pada kelajuan rendah yang bertujuan mengurangkan risiko pelanggaran di bandar.

Pada tahun 2017, ia turut menjadi kenderaan pertama di dunia memperkenalkan teknologi Oncoming Lane Mitigation, yang membantu stereng kereta kembali ke laluan asal apabila ia terkeluar ke arah laluan bertentangan secara tidak sengaja.

Selain itu, Volvo XC60 juga memainkan peranan penting dalam strategi elektrifikasi Volvo. Melalui versi plug-in hybrid, ia memberi peluang kepada pengguna untuk merasai pemanduan berkuasa elektrik dengan sokongan enjin pembakaran dalaman – sesuai untuk mereka yang masih dalam proses peralihan ke kenderaan elektrik sepenuhnya.

Data global menunjukkan bahawa kira-kira separuh daripada jarak perjalanan model hibrid plug-in Volvo kini digerakkan sepenuhnya melalui kuasa elektrik.

Untuk maklumat lanjut mengenai rangkaian kenderaan elektrik dan hibrid Volvo di Malaysia, sila layari www.volvocars.com/my atau ikuti Volvo Car Malaysia di media sosial.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd