Ini 6 Baka Kucing Berwarna Coklat Yang Boleh Anda Terokai

July 1, 2025
Haiwan

Bat

Secara umumnya, apabila sebut sahaja mengenai kucing, pasti anda mempunyai warna kucing yang ada di dalam minda. Jika tidak kucing oren, pastinya kucing kelabu. Ataupun kucing putih yang berbulu kembang.

Namun, tahukah anda sebenarnya terdapat satu lagi warna yang sebenarnya mempunyai baka-baka kucing yang comel iaitu baka kucing berwarna coklat.

Sejak kebelakangan ini, banyak siaran di media sosial yang memaparkan kucing berwarna coklat gelap yang kelihatan sangat gebu, comel dan estetik. Ramai yang terpukau melihat bulunya yang lebat seperti baldu, warnanya yang unik, serta ekspresi wajah yang manja dan comel.

Warna coklat pada bulu kucing bukan sahaja memberikan aura elegan, tetapi juga membuatkan si bulus nampak lebih eksotik dan manja. Walaupun tidak sepopular warna oren atau putih, kucing berbulu coklat tetap ada peminatnya tersendiri.

Spesis Atau Baka Kucing Berwarna Coklat

Bagi yang ingin menerokai spesies kucing berwarna coklat, berikut adalah antara baka kucing yang mempunyai varian warna coklat:

  • Havana Brown
  • York Chocolate
  • Burmese
  • British Shorthair
  • Persians & Exotic Shorthair
  • Selkirk Rex

#1 Havana Brown

Baka ini dianggap sebagai “bintang sebenar” dalam dunia kucing berwarna coklat. Havana Brown ialah baka yang berasal dari Eropah dan Amerika Syarikat. Ia mempunyai bulu berwarna coklat chestnut yang halus dan berkilat.

Apa yang menarik, warnanya begitu seragam dari hujung kepala hingga ke ekor. Matanya pula biasanya berwarna hijau zamrud yang menyerlahkan lagi keanggunannya. Baka ini sangat mesra, penyayang dan gemar berinteraksi dengan manusia.

#2 York Chocolate

Baka ini berasal dari New York dan dinamakan sempena warnanya yang seperti coklat susu. Kucing ini mempunyai bulu panjang dan lembut, serta bersifat penyayang dan setia. Ia merupakan baka yang agak baru, tetapi popularitinya semakin meningkat terutamnya dalam komuniti pencinta kucing eksotik.

#3 Burmese

Baka ini berasal dari Asia Tenggara, termasuk Myanmar dan Thailand. Warna bulunya yang dikenali sebagai “sable” menyerupai warna coklat kopi gelap. Selain keunikan warnanya, kucing Burmese sangat aktif dan manja. Ia juga terkenal dengan suara kembut dan personaliti yang suka menemani pemiliknya ke mana-mana.

#4 British Shorthair

Baka yang ikonik dengan tubuh montel dan pipi tembam ini juga mempunyai varian warna coklat yang dipanggil “chocolate” atau “chocolate self“. Kucing ini terkenal dengan sifatnya yang tenang dan berdikari, sesuai untuk mereka yang mahukan haiwan peliharaan yang tidak memerlukan perhatian berlebihan tetapi setia.

#5 Persian & Exotic Shorthair

Kedua-dua baka ini berasal daripada garis keturunan yang sama, tetapi bezanya Persian berbulu panjang manakal Exotic berbulu pendek dan lebih mudah di selenggara.

Varian warna coklat dalam baka ini memberikan penampilan yang sangat esklusif, terutama apabila dipadankan dengan mata berwarna tembaga atau jingga.

#6 Selkirk Rex

Kucing ini dikenali dengan bulunya yang keriting seperti biri-biri. Apabila warna coklat wujud dalam baka ini, ia menambah lagi keunikan penampilannya. Selain rupa yang istimewa, kucing ini juga terkenal dengan sifatnya yang penyayang, sabar, dan mudah disesuaikan dengan persekitaran baru.

Mengapa Kucing Berwarna Coklat Jarang Dilihat?

Kucing coklat yang sepenuhnya berwarna coklat adalah hasil gabungan genetik recessive, yang bermaksud kedua-dua ibu bapa perlu membawa gen tersebut untuk anak mereka mewarisi warna coklat.

Sekiranya hanya salah satu induk yang mempunyai gen ini, maka warna bulu anak kucing cenderung untuk dipengaruhi oleh gen dominan lain. Disebabkan faktor ini juga, kucing berwarna coklat adalah agak jarang ditemui berbanding warna biasa seperti putih, oren, hitam atau belang.

Di samping itu, jumlah baka yang secara semula jadi menghasilkan warna coklat adalah sangat terhad. Warna coklat juga hadir dalam beberapa tona, seperti ‘chocolate’, ‘sable’, atau ‘cinnamon’, yang kesemuanya memerlukan kombinasi genetik khusus untuk muncul dengan jelas.

Oleh sebab itu, kucing berwarna coklat sering dianggap sebagai sesuatu yang unik dan eksklusif, dan menjadi pilihan istimewa bagi pencinta kucing yang mencari kelainan.

Berbaloi Ke Miliki Kucing Coklat?

Jika anda terpesona dan berniat untuk memelihara kucing berwarna cokat, anda harus tahu bahawa ia bukan sekadar cantik di mata, tetapi juga memerlukan komitmen dan penjagaan rapi. Sebahagian besar baka ini adalah manja, sensitif dan memerlukan perhatian serta persekitaran yang selamat.

Selain itu, harga kucing berbulu coklat ini selalunya lebih mahal kerana ianya jarang dijumpai dan mempunyai permintaan yang tinggi, terutama bagi baka eksklusif seperti Havana Brown dan York Chocolate.

Nilainya boleh mencecah ribuan ringgit bergantung kepada genetik. Kos penjagaan juga perlu dipertimbangkan – termasuk makanan premium, rawatan veterinar, penjagaan bulu dan keperluan harian. Namun, ramai sanggup melabur demi memiliki kucing coklat kerana sifatnya yang penyayang, penampilannya yang unik, serta aura tenang yang dibawanya ke dalam rumah.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd