PROTON X50 2025 Kini Rasmi – Dilengkapi Dengan Ciri Kawalan Suara Dalam Bahasa Melayu

July 1, 2025
Automotif

Lina Rosli

PROTON secara rasmi telah memperkenalkan model PROTON X50 terbaharu dan dijangka akan dilancarkan secara rasmi sekitar awal Julai 2025 ini.

Untuk pengetahuan anda, PROTON X50 yang pertama telah dilancarkan pada Oktober 2020 yang lepas dan sebanyak lebih dari 134,000 unit telah terjual sehingga ke hari ini.

Menurut PROTON, bagi model X50 2025 ini, ia hadir dengan pelbagai peningkatan menyeluruh termasuk rekaan luaran yang lebih bergaya, sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 yang dinaik taraf, serta skrin inforia bersaiz 14.6 inci yang kini menyokong fungsi pengecaman dan kawalan suara dalam Bahasa Melayu – merupakan yang pertama dalam industri automotif.

Rekaan Dan Ciri Keselamatan Kini Dipertingkat

Bukan itu sahaja, PROTON X50 ini juga menampilkan identiti visual baharu yang mana ia hadir dengan gril dan bampar hadapan baharu, spoiler belakang yang lebih sporty, empat saluran ekzos serta rim aloi bertekstur dengan rekaan terkini.

Dari segi ciri keselamatan, model 2025 kini dilengkapi dengan Sistem Radar Sisi Belakang (RSRS), sistem bantuan parkir automatik yang dipertingkatkan dan kamera HD 360° dengan paparan telus bawah 180° – menjadikannya salah satu model paling lengkap dari aspek keselamatan dalam kelasnya.

Model ini juga dikuasakan oleh enjin 1.5 TD i-GT baharu yang dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, menghasilkan kuasa 133 kW dan 290 Nm tork. Hasilnya, ia berupaya untuk memecut dari 0–100 km/j dalam masa hanya 7.6 saat – sekaligus menjadikannya lebih pantas berbanding generasi sebelumnya, di samping peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 4.7%.

Penawaran Warna Dan Sistem Inforia Yang Lebih Moden

Penawaran warna juga ditambah dengan kemunculan warna baharu Teal Bayou Green. Dan bagi melengkapkan pilihan warna sedia ada, PROTON X50 hadir dengan warna-warna seperti Snow White, Passion Red, Jet Grey dan Armour Silver.

Sementara untuk bahagian dalaman pula PROTON X50 menampilkan aksen lampu suasana 72 warna yang memberikan pengalaman pemanduan lebih selesa dan elegan.

Bukan itu sahaja, apa yang paling menarik pada PROTON X50 ini adalah ia kini menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain itu, aplikasi PROTON Link 2.0 juga membolehkan pengguna mengawal fungsi-fungsi seperti menghidupkan enjin dan penghawa dingin dari jauh, menyemak status kenderaan masa nyata, serta menetapkan temu janji servis terus dari peranti mudah alih.

Bagi yang berminat, PROTON X50 2025 ini ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Executive, Premium dan Flagship.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd