Hyundai Memperkenalkan Tiga Model SUV Baharu Untuk Pasaran Malaysia – Santa Fe, Tucson Dan Staria Yang Dipasang CKD

July 2, 2025
Automotif

Lina Rosli

Selepas pengumuman pengurusan Hyundai di Malaysia kini dilakukan oleh Hyundai Motor Malaysia, kini jenama kenderaan dari Korea Selatan ini nampaknya telah mula melangkah ke fasa baharu dalam pasaran automotif tempatan dengan pelancaran tiga model utama – Santa Fe, Tucson dan Staria.

Apa yang menariknya, untuk ketiga-tiga model ini merupakan model yang dipasang secara tempatan (CKD) di Kulim, Kedah. Menurut Hyundai, dengan kehadiran tiga model popular ini, ia sekaligus menandakan komitmen jenama terhadap pelaburan jangka panjang, inovasi teknologi dan pemahaman lebih mendalam terhadap keperluan mobiliti rakyat Malaysia.

Hyundai Santa Fe 2025 – SUV 6/7 Tempat Duduk Dengan Varian Hybrid

Untuk Hyundai Santa Fe 2025 ini, ia dilihat hadir dengan reka bentuk lebih berani, jarak roda lebih panjang serta ruang kabin luas yang mampu memuatkan 6 atau 7 tempat duduk. Ini sekaligus menjadikannya sesuai untuk kegunaan keluarga mahupun pengembaraan luar.

Bagi model Santa Fe 2025 juga, ia ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa iaitu enjin turbo 2.5L T-GDi (281 PS) dan varian hibrid 1.6L (235 PS).

Antara ciri-ciri utama yang menarik ditawarkan pada Santa Fe ini termasuklah paparan digital melekung 12.3 inci, penawaran ciri pengecasan dwi-nirwayar pada ruang tangan bahagian hadapan dan juga dilengkapi dengan dulang pensanitasi UV-C.

Bukan itu sahaja, Hyundai turut memperkenalkan mod santai untuk tempat duduk baris pertama dan kedua – yang menjadikan kereta ini lebih selesa untuk perjalanan jarak jauh. Selain itu, untuk tempat duduk belakang juga ia boleh dilipat dan simpan dengan hanya menekan satu butang sahaja – memudahkan penggunaan ruang yang lebih luas yang mana kapasitinya sebesar 1,900 liter.

Bagi yang berminat, harga jualan adalah bermula dari RM225,000 untuk varian Prime, RM245,000 untuk varian Prestige dan RM270,00 untuk varian 2.5T Calligraphy.

Hyundai Tucson – Reka Bentuk Moden Dengan Pilihan Hibrid

Sebagai antara SUV paling laris Hyundai secara global, Tucson kini tampil lebih bergaya dengan rekaan gril parametrik, paparan dwiskrin digital, dan konsol terapung untuk kemudahan ergonomik. Model ini juga menandakan kemasukan pertama varian hibrid Tucson ke pasaran Malaysia.

Ditawarkan dalam tiga pilihan enjin:

  • 2.0L Smartstream MPI (156 PS)
  • 1.6L Turbo GDi (180 PS)
  • 1.6L Hibrid Elektrik (235 PS)

Dilengkapi dengan sistem Hyundai SmartSense serta pelbagai ciri pintar, Tucson baharu dijual pada harga bermula dari RM143,888.

Hyundai Staria – MPV Keluarga Yang Futuristik Dan Luas

Untuk mereka yang memerlukan ruang dan fleksibiliti tanpa menjejaskan reka bentuk, Staria merupakan MPV dengan gaya futuristik. Diperkenalkan dalam varian 7 dan 10 tempat duduk, ia sesuai untuk penggunaan keluarga mahupun pemanduan eksekutif.

Bagi MPV baharu ini, antara ciri menarik yang ditampilkan termasuklah:

  • Enjin diesel CRDi 2.2L (177 PS, 430 Nm)
  • Sistem audio premium BOSE
  • Bumbung suria berkembar
  • Ruang but sehingga 1,024 liter

Bagi yang berminat, Hyundai Staria ini ditawarkan pada harga bermula dari RM179,888.

Komitmen Hyundai Kepada Pengguna Malaysia

Sebagai ganjaran untuk pelanggan awal, Hyundai Motor Malaysia menawarkan penyelenggaraan percuma untuk lapan servis pertama kepada 100 pelanggan terawal.

Selain itu, untuk kesemua model baharu juga disertakan waranti 8 tahun bersamaan dengan 160,000 km – dan juga penyelenggaraan percuma sehingga empat kali, menjadikan pemilikan kenderaan lebih mudah.

Dengan perancangan untuk mengembangkan rangkaian perkhidmatan kepada 25 cawangan menjelang 2030, Hyundai Motor Malaysia memberikan jaminan terhadap pengalaman selepas jualan yang lebih menyeluruh dan boleh diakses oleh semua pengguna di seluruh negara.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd