Perjalanan Inovatif Pet World Dalam Industri Pemakanan Haiwan Peliharaan
Lina Rosli
Sejak ditubuhkan pada tahun 2006, Pet World Nutritions Sdn Bhd telah membina reputasi sebagai salah satu syarikat tempatan yang paling berjaya dalam industri pemakanan haiwan peliharaan. Dengan visi untuk menyediakan produk berkualiti tinggi yang selamat dan berkhasiat untuk haiwan kesayangan, Pet World Nutritions Sdn Bhd bermula dengan langkah yang kukuh melalui pelancaran jenama sulung mereka, ProDiet.
Menurut Pet World, langkah pelancaran makanan kucing sebagai produk pertama mereka merupakan satu keputusan strategik yang berdasarkan statistik. Ini kerana data menunjukkan kira-kira lebih 75% pemilik haiwan peliharaan di Malaysia merupakan pemilik kucing.

Situasi ini menunjukkan keperluan pasaran yang tinggi terhadap produk makanan kucing yang berkualiti, dan Pet World tampil mengisi kekosongan itu dengan pendekatan yang menyeluruh dan berasaskan penyelidikan.
ProDiet diperkenalkan sebagai produk utama yang diformulasikan untuk memenuhi keperluan nutrisi kucing domestik. Dengan pendekatan saintifik dan penekanan terhadap bahan-bahan berkualiti tinggi, ProDiet bukan sahaja berjaya menambat hati pengguna tempatan, malah mula mendapat perhatian di luar negara.


Dengan pertumbuhan yang stabil dan permintaan yang semakin meningkat, Pet World mula mengorak langkah lebih jauh dalam memperluas penawaran produk mereka. Lima tahun selepas pelancaran ProDiet, pada tahun 2011, Pet World memperkenalkan satu lagi jenama utama mereka iaitu ProBalance, kali ini memfokuskan kepada pemakanan anjing. ProBalance dibangunkan menggunakan prinsip yang sama seperti ProDiet, iaitu keseimbangan nutrisi, rasa yang menarik untuk haiwan, dan keselamatan makanan yang dijamin.

Untuk menjadi antara pengeluar makanan kucing terbesar di Malaysia, Pet World tidak hanya berhenti di ProDiet dan ProBalance. Syarikat ini turut hadir dengan beberapa sub-jenama lain yang menyasarkan kategori kucing dan anjing yang berbeza.
Antaranya ialah Delizious, iaitu rangkaian makanan kucing premium yang menumpukan kepada kualiti bahan dan citarasa tinggi, serta Le Gourmet, jenama makanan anjing premium yang diformulasikan berdasarkan “human graded taste” – menjadikan ia bukan sahaja lazat tetapi juga mudah dihadam.

Selain itu, terdapat juga jenama Simple, yang memfokuskan kepada makanan anjing yang dijual terus kepada pelanggan (direct-to-consumer). Apa yang membezakan Simple adalah formulasi bebas gandum (wheat-free) dan kandungan bahan utama yang tinggi, iaitu 80% daripada daging merah atau daging putih, serta diperkaya dengan antioksidan semula jadi seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Pelaburan RM50 Juta Untuk Pembangunan Infrastruktur Kilang
Kejayaan jenama-jenama ini tidak hadir secara kebetulan. Pet World sentiasa menitikberatkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan setiap produknya. Malah, bagi menyokong usaha ini, syarikat telah melaburkan sebanyak RM3 juta dalam pembinaan dan operasi makmal R&D yang berperanan sebagai pusat inovasi syarikat.
Di sini, setiap formula baharu diuji, disemak dan ditambah baik agar dapat memenuhi standard nutrisi global serta permintaan pengguna yang semakin cermat dan mementingkan kualiti.
Dari segi pengeluaran, Pet World mengambil langkah besar dalam memodenkan proses pengilangannya dengan melabur kira-kira RM50 juta dalam teknologi automasi terkini. Sistem pengeluaran automatik ini direka khas untuk memenuhi keperluan industri makanan haiwan peliharaan.

Apa yang membezakan Pet World daripada pesaingnya ialah keupayaan mereka untuk mengawal keseluruhan proses pembuatan secara automatik, dari pemprosesan bahan mentah hingga ke pembungkusan produk akhir. Dengan teknologi ini, keseluruhan proses hanya mengambil masa sekitar 30 minit, menjadikannya salah satu sistem pengeluaran yang paling efisien di rantau ini.
Menurut Pet World juga, kelebihan utama penggunaan automasi bukan sahaja terletak pada kecekapan masa, tetapi juga pada ketepatan dan keselamatan. Mesin-mesin yang digunakan telah direka untuk beroperasi mengikut formula spesifik bagi setiap produk, sekaligus mengurangkan ralat dalam pencampuran bahan dan menjamin konsistensi produk.
Tambahan pula, sistem ini membantu dalam mengurangkan risiko pencemaran makanan (contamination) – faktor yang sangat kritikal dalam industri makanan, terutamanya apabila ia melibatkan kesihatan haiwan peliharaan yang sensitif.
Gudang Automasi Tinggi Dan Pengurusan Berpusat
Selain daripada kecekapan dalam pengeluaran, Pet World turut menonjol dalam aspek pengurusan logistik dan penyimpanan produk. Gudang utama Pet World di Malaysia dilengkapi dengan sistem automasi hampir sepenuhnya – sekitar 90% operasi dilakukan secara automatik, menjadikan ia salah satu gudang paling moden dalam industri makanan haiwan peliharaan.
Yang menariknya, hanya 17 orang pekerja diperlukan untuk memantau dan mengurus proses selepas pembungkusan, menunjukkan tahap kecekapan operasi yang tinggi dan pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh manual.
Gudang di Malaysia berperanan sebagai pusat pengedaran utama bagi makanan kering, manakala bagi kategori makanan basah pula, proses pengilangan dilakukan di Thailand. Pembahagian fungsi ini membolehkan Pet World mengekalkan kawalan kualiti dan kecekapan pengeluaran di kedua-dua segmen produk sambil memaksimumkan kapasiti operasi mereka.

Sebagai hasil daripada komitmen terhadap kualiti dan inovasi, Pet World Nutritions Sdn Bhd kini berjaya memasarkan lebih 70,000 tan makanan haiwan setiap tahun – bersamaan dengan 1.5 bilion unit makanan.
Rangkaian produknya juga semakin meluas, dengan lebih daripada 143 SKU yang meliputi pelbagai jenis formulasi dan variasi makanan untuk kucing dan anjing. Produk-produk ini bukan sahaja memenuhi keperluan nutrisi harian, tetapi juga direka untuk menangani keperluan khusus seperti makanan untuk haiwan berusia, sensitif, aktif atau memerlukan sokongan kesihatan tertentu.
Komitmen Pet World Nutritions Terhadap Kelestarian
Selain iti, Pet World turut percaya bahawa penjagaan haiwan peliharaan yang baik bermula dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar. Justeru itu, mereka komited untuk menghasilkan makanan haiwan yang bukan sahaja berkhasiat, tetapi juga mesra alam.
Antaranya termasuklah usaha mendapatkan bahan mentah dari sumber yang lestari seperti makanan laut yang diperoleh daripada perikanan yang diperakui MSC, serta memperkenalkan larva lalat tentera hitam (Black Soldier Fly Larvae) sebagai alternatif protein mampan dalam makanan anjing pertama seumpamanya di Malaysia.

Bagi mengurangkan impak terhadap alam sekitar, Pet World Nutritions turut memanfaatkan sumber protein terpakai seperti ayam, salmon dan itik sebelum ia digunakan untuk kegunaan manusia — langkah ini bukan sahaja mengurangkan pembaziran makanan, tetapi turut menyumbang kepada pengurangan sehingga 45,079kg gas rumah hijau.
Pet World Nutritions Di Peringkat Global
Di peringkat pasaran, Pet World telah berjaya mengembangkan pengaruhnya ke peringkat antarabangsa. Produk-produk keluaran syarikat kini dipasarkan di 10 negara, termasuk negara-negara di Asia. Antara pasaran luar utama yang telah dicapai termasuk Brunei, Singapura, Indonesia, Thailand, Taiwan, China dan Filipina.
Dalam memperkukuhkan lagi capaian global, syarikat juga telah membina lebih daripada 25,000 hab pemasaran di seluruh dunia, sekaligus membolehkan produk mereka diakses oleh pengguna di pelbagai lokasi.

Namun begitu, kejayaan Pet World bukan sahaja diukur melalui skala pengeluaran dan eksport, tetapi juga menerusi pengiktirafan terhadap pendekatan beretika dan bertanggungjawab dalam pengeluaran makanan haiwan.
Syarikat ini amat menitikberatkan piawaian keselamatan makanan antarabangsa dan melaksanakan sistem kawalan kualiti yang ketat di setiap peringkat pengeluaran. Selain itu, mereka juga memberi penekanan terhadap kelestarian – dari pemilihan bahan mentah yang lestari hinggalah ke proses pembungkusan yang mesra alam.

Selepas hampir dua dekad beroperasi, Pet World Nutritions Sdn Bhd hari ini berdiri sebagai simbol kejayaan jenama tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Kejayaan ini dicapai hasil gabungan visi yang jelas, pelaburan berani dalam teknologi, serta komitmen terhadap inovasi dan tanggungjawab sosial.
Dengan momentum yang semakin kukuh, syarikat ini dijangka akan terus menjadi peneraju dalam membentuk masa depan industri pemakanan haiwan peliharaan yang lebih sihat, selamat dan mampan.