Komitmen Kelestarian AEON – Kini Lancar Projek Penghijauan Baharu Di Segamat Menerusi Penanaman 30,000 Pokok

July 3, 2025
syarikat

Lina Rosli

Baru-baru ini, AEON CO. (M) BHD dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah melancarkan satu projek penghijauan baharu selama tiga tahun di Segamat, Johor, sebagai kesinambungan kepada kejayaan Malaysia-Japan Friendship Forest Programme yang sebelum ini dilaksanakan di Bidor, Perak.

Untuk pengetahuan anda, program di Bidor yang berlangsung dari tahun 2014 hingga 2023 telah menyaksikan sebanyak 30,000 pokok spesies hutan hujan tropika ditanam di kawasan bekas lombong seluas 22.75 hektar. Inisiatif ini bukan sahaja memulihkan kawasan terbiar, malah turut menyumbang kepada kempen 100 Juta Penanaman Pokok yang diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar.

Sementara untuk projek terbaharu di Segamat ini, ia dijangka akan melibatkan penanaman 30,000 pokok tambahan di atas tanah seluas 36 hektar, dilaksanakan dalam tiga fasa bermula tahun 2025 hingga 2027.

Setiap fasa dijangka menyumbang 10,000 pokok yang terdiri daripada spesies tempatan seperti meranti temak nipis, meranti tembaga dan sesenduk.

Sejak memperkenalkan inisiatif penanaman pokok pada tahun 1991, AEON telah menanam lebih 557,000 pokok di seluruh negara. Tapak-tapak projek sebelum ini, termasuk di Bidor, bukan sahaja menjadi kawasan hutan semula jadi, tetapi turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan pemeliharaan biodiversiti.

Projek di Segamat turut memperkukuh pelaksanaan prinsip Environmental, Social and Governance (ESG) oleh AEON, yang memberi tumpuan kepada pemulihan ekosistem, pemerkasaan komuniti setempat dan pembangunan mampan.

Dengan adanya usaha ini, ia diharap mampu memberi impak positif bukan sahaja kepada alam sekitar, malah kepada generasi akan datang yang bakal mewarisi hasilnya.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd