Proton e.MAS 7 Memperkenalkan Warna Baharu “Obsidian Black” – Turut Hadir Dengan Ciri Pintar Yang Dikemaskini
Lina Rosli
Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) telah melancarkan varian baharu bagi kenderaan elektrik paling laris di Malaysia iaitu Proton e.MAS 7.
Menurut PRO-NET, model ini bukan sahaja memperkenalkan pilihan warna baharu, tetapi juga penambahan ciri pintar melalui kemaskini OTA (Over-The-Air), serta pelaksanaan dasar jualan baharu yang bertujuan memudahkan akses dan meningkatkan nilai pemilikan EV bagi pengguna Malaysia.


Kemaskini Pintar Berdasarkan Permintaan Pengguna
Perkara pertama yang telah ditambahbaik pada Proton e.MAS 7 baharu ini adalah sokongan Apple CarPlay yang boleh disambungkan sama ada secara berwayar dan juga nirwayar. Dengan ini, ia bukan sahaja memudahkan akses kepada aplikasi di dalam peranti pintar, tetapi juga membantu menyesuaikan pemanduan dengan lebih intuitif dan peribadi.
Selain itu, Proton e.MAS 7 ini juga menawarkan integrasi aplikasi pihak ketiga seperti Zoom for Cars, izi.TRAVEL dan Vivaldi Browser, serta sistem operasi Flyme Auto yang dikemaskini untuk prestasi lebih pantas dan lancar.

Seterusnya, ciri keselamatan turut diperhalusi melalui penyesuaian sistem amaran bunyi untuk kelajuan rendah EV, yang kini hadir dengan tiga pilihan nada iaitu Classical, Galactic Note, dan Space Walk. Fungsi ini direka untuk memberi amaran kepada pejalan kaki apabila kenderaan bergerak perlahan – dan boleh dipersonalisasi mengikut citarasa pemilik.
Bukan itu sahaja, sistem ini juga membolehkan tetapan terakhir pengguna disimpan selepas kenderaan dimatikan, memastikan pengalaman pemanduan yang lebih selesa dan peribadi.
Warna Baharu Untuk Penampilan Lebih Premium
Bagi memenuhi permintaan terhadap warna lebih elegan dan moden, Obsidian Black diperkenalkan sebagai pilihan luaran baharu yang menyerlahkan sisi eksklusif e.MAS 7.
Manakala untuk varian Premium Quartz Rose dan Turquoise Green, pengguna kini boleh memilih kemasan dalaman Alabaster White, terhad kepada 250 unit sahaja bagi setiap varian – yang mana untuk kemasan dalaman baharu ini, ia sekaligus menjadikan reka bentuk dalaman lebih mewah dan eksklusif.

Proton Memperkenalkan Power Pack+
Selain itu, PRO-NET turut memperkenalkan pakej Power Pack+ bagi meningkatkan daya tarikan pembelian e.MAS 7. Dengan penawaran pakej ini, ia sedikit sebanyak menjadi nilai tambah untuk pembelian dalam kalangan pemilik baharu kenderaan elektrik. Antara yang ditawarkan:
- Power Home: Pengecas rumah 7kW percuma (RM1,500)
- Power Plus: Fungsi V2L percuma (RM500)
- Power Online: Data internet tanpa had selama 5 tahun (RM1,800)
- Power Thru: Waranti kenderaan tanpa had perbatuan selama 6 tahun, serta waranti bateri selama 8 tahun atau 160,000km
- Power Exchange: Rebat tukar beli sehingga RM5,000

Menurut PRO-NET juga, untuk semua pembelian e.MAS 7 kali ini, ia dilengkapi dengan penutup ruang barangan (tonneau cover) sebagai ciri standard yang akan ditawarkan secara percuma dalam tempoh terdekat.
Bagi yang berminat, Proton e.MAS 7 varian baharu kini tersedia di semua pengedar sah Proton e.MAS di seluruh negara. Sementara itu, untuk kemaskini baharu, ia akan tersedia kepada pemilik e.MAS 7 secara berperingkat bermula 21 Julai 2025 dan sehingga kini lebih dari 4,000 unit telah terjual.
Sekiranya anda ingin mencuba pengalaman memandu EV ini secara langsung, sesi pandu uji boleh dilakukan di bilik pameran terdekat. Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi Proton e.MAS, atau ikuti saluran media sosial rasmi Proton e.MAS.