OLDTOWN White Coffee Malaysia Memperkenalkan Menu Baharu Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-25

July 7, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Bersempena dengan ulang tahun ke-25 OLDTOWN White Coffee, jenama kopi tempatan ini nampaknya hadir dengan penawaran menu baharu dan juga barangan edisi terhad khusus untuk para penggemarnya.

Untuk pengetahuan anda, OLDTOWN White Coffee ini telah ditubuhkan sejak tahun 1999. Ia bermula dengan penawaran kopi putih yang terkenal dari Ipoh yang dibawakan melalui konsep kedai kopitiam, dan kemudiannya diperluaskan dalam bentuk penawaran produk sedia minum.

Kini, OLDTOWN sudah mempunyai lebih 100 cawangan kafe di seluruh Malaysia dan rantau ini, dengan jutaan cawan kopi yang telah disajikan menggunakan campuran unik tiga biji kopi Arabica, Robusta dan Liberica yang menjadi tunjang kepada identiti jenama.

Menu Yang Telah Diperbaharui Di Semua Cawangan OLDTOWN

Bermula akhir Ogos ini, pelanggan boleh menikmati pembaharuan menarik dalam menu di semua cawangan OLDTOWN seluruh negara. Hidangan popular seperti Nasi Lemak dan Mi Kari kini dihidangkan dengan resipi dan kualiti bahan yang ditambah baik untuk memberikan pengalaman rasa yang lebih memuaskan.

Bukan itu sahaja, sajian kegemaran ramai seperti Roti Bakar Kaya Butter pula dipertingkat dengan penggunaan ramuan berkualiti tinggi. Selain itu, OLDTOWN turut memperkenalkan pilihan baharu seperti siri Nasi Banjir, sajian bergoreng ala wok, hidangan autentik Hainan, serta variasi Roti John dan Paratha.

Seiring peningkatan ini, OLDTOWN juga memperbaharui reka bentuk pembungkusan produknya yang mana jenama ini mula menampilkan rekaan baharu yang lebih moden dan menyerlah, selari dengan komitmen terhadap kualiti dan kesegaran.

Dengan set hidangan sarapan pagi serendah RM7.90, OLDTOWN terus kekal relevan dalam menawarkan cita rasa Malaysia pada harga yang berpatutan.

Sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia, OLDTOWN turut menawarkan Tote Bag Edisi Khas Ulang Tahun ke-25 kepada pembeli runcit yang membeli dua pek produk OLDTOWN White Coffee di stor terpilih bermula hari ini sehingga 31 Oktober 2025.

Untuk maklumat lanjut mengenai promosi ulang tahun OLDTOWN dan senarai menu baharu, anda boleh layari laman web rasmi di www.oldtown.com.my dan jangan ketinggalan untuk berkunjung ke cawangan OLDTOWN berhampiran anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd