PROTON X50 2025 Kini Dijual Pada Harga Bermula RM89,800

July 24, 2025
Automotif

Lina Rosli

PROTON hari ini secara rasmi mengumumkan harga jualan bagi model terbaharu mereka, PROTON X50 2025, yang bakal ditawarkan kepada pengguna tempatan bermula RM89,800. Model ini menampilkan pelbagai penambahbaikan dari segi prestasi, teknologi dan keselamatan – ini sekaligus menjadikannya antara pilihan SUV segmen-B paling berbaloi dalam pasaran semasa.

Untuk pengetahuan anda, PROTON X50 2025 ini telahpun dilancarkan secara rasmi pada awal Julai 2025 yang mana ia ditawarkan dalam tiga varian utama iaitu Executive, Premium dan Flagship.

Antara ciri terbaharu yang diperkenalkan termasuklah sistem infotainmen skrin sentuh bersaiz 14.6 inci yang menyokong pengecaman suara dalam Bahasa Melayu, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta lampu suasana 72 warna yang menambahkan sentuhan premium pada bahagian dalaman.

Dari aspek keselamatan, PROTON X50 2025 kini dilengkapi dengan Radar Sisi Belakang (RSRS), kamera HD 360° dengan paparan telus bawah 180°, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 yang telah dipertingkat. Model ini juga disokong oleh enjin 1.5L TD i-GT baharu dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, yang menawarkan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 7.6 saat, serta peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 4.7%.

Bukan itu sahaja, PROTON turut memperkenalkan Proton Link 2.0, sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna mengakses fungsi jarak jauh seperti menghidupkan enjin, mengawal penghawa dingin, menyemak status kenderaan secara masa nyata, serta menetapkan temu janji servis – semuanya boleh dilakukan hanya melalui peranti mudah alih.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan X50 serba baharu ini, PROTON turut memperkenalkan warna baharu iaitu Teal Bayou Green yang melengkapkan barisan warna sedia ada seperti Snow White, Passion Red, Jet Grey dan Armour Silver.

Pembelian PROTON X50 2025 turut disertakan dengan manfaat selepas jualan menerusi 5 pakej menarik iaitu:

  • Pakej Pro-Warranty:
    • 5 Tahun Waranti Tanpa Had Perbatuan
    • 6 Kali Servis Percuma (Termasuk Caj Buruh)
  • Pakej Pro-Connect:
    • 5 Tahun Pelan Data (2GB Sebulan)
    • Pakej Pro-Trade-In:
      • Sokongan jualan semula sehingga RM2,000
      • Pakej Pro-Finance:
        • Kadar faedah serendah 2.35% untuk 5 tahun
        • Kadar faedah serendah 2.38% PA untuk 7 tahun
        • Pakej Pro-Insurance:
          • Tawaran insurans menerusi Program Insurans PROTON

          Harga jualan untuk setiap varian:

          • X50 1.5TD Executive – RM89,800
          • X50 1.5TD Premium RM101,800
          • X50 1.5TD Flagship – RM113,800

          Dengan harga permulaan bermula RM89,800, PROTON X50 2025 bukan sahaja tampil lebih berteknologi dan berkuasa, malah menawarkan nilai tambah yang sukar ditandingi dalam segmennya. Untuk maklumat lanjut dan tempahan, orang ramai boleh mengunjungi mana-mana pusat pameran PROTON yang berdekatan.

          © 2025 Amanz Media Sdn Bhd