Hextar World Umum Penyertaan 8 Penyewa Baharu – Termasuk Taman Tema Air Dalam Bangunan Terbesar Di Malaysia
Lina Rosli
Hextar World di Empire City terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai destinasi gaya hidup dan hiburan bersepadu apabila secara rasmi menandatangani perjanjian penyertaan bersama lapan penyewa utama baharu, menjelang pelancaran pusat beli-belah tersebut yang bakal berlangsung pada akhir tahun ini.

Menurut Hextar, kehadiran kesemua jenama-jenama ini, ia mengukuhkan lagi visi mereka dalam menjadikan Hextar World sebagai destinasi utama yang mentakrifkan semula pengalaman bersepadu.
Antara lapan tarikan utama yang diperkenalkan termasuklah:
- Village Grocer, pasar raya premium tempatan dengan keluasan 28,000 kaki persegi di aras bawah tanah.
- Miami Beach, jenama taman tema air dalam bangunan yang terbesar di Malaysia bakal hadir dengan penawaran seluas 160,000 kaki persegi yang menampilkan pantai dalaman pertama di Malaysia dengan suasana siang dan malam buatan.
- Jungle Gym, taman permainan kanak-kanak dalam bangunan terbesar di negara ini, berkeluasan lebih 12,000 kaki persegi.
- Ballet Theatre Malaysia, syarikat balet profesional pertama di Malaysia yang menyokong pembangunan seni dan bakat tempatan.
- Playa Racquet Club dan 91 Sports Arena, yang masing-masing menawarkan gelanggang serta fasiliti berkonsepkan sukan pickleball dengan pendekatan moden dan mesra komuniti.
- Sport Planet, jenama runcit pelbagai produk sukan dan gaya hidup.
- La Boca, restoran yang membawakan keunikan citarasa serta suasana Latin Amerika ke Malaysia.

Bukan itu sahaja, Hextar World turut memperkenalkan konsep “The Exploratorium”, iaitu sebuah pembangunan yang memberi fokus kepada penemuan, inovasi, keterhubungan komuniti, hiburan dan kesejahteraan hidup. Ini selari dengan keluasan hartanah yang mereka ada iaitu lebih 1.8 juta kaki persegi, Hextar World dijangka akan menggalakkan gaya hidup mampan di samping memberikan pengalaman yang menyeluruh kepada pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.