Terokai Keindahan Taman Kinabalu Dan Tapak Warisan Dunia UNESCO Menerusi Google Arts & Culture

July 18, 2025
destinasi

Lina Rosli

Kini, penduduk di seluruh dunia berpeluang untuk menerokai keunikan dan keindahan Taman Kinabalu, Sabah, menerusi kemaskini baharu dalam koleksi Tapak Warisan Dunia UNESCO di Google Arts & Culture.

Untuk pengetahuan anda, Google Arts & Culture merupakan sebuah platform digital yang dibangunkan oleh Google Cultural Institute untuk membolehkan pengguna menerokai karya seni, warisan budaya, tapak bersejarah dan koleksi muzium dari seluruh dunia — semuanya secara atas talian.

Dan baru-baru ini, Google Arts & Culture dilihat hadir dengan lebih daripada 20 kisah baharu berkaitan lokasi-lokasi Warisan Dunia, termasuk tiga kisah eksklusif yang memfokuskan kepada Taman Kinabalu.

Terletak di utara Borneo, Taman Kinabalu merupakan sebuah kawasan yang diiktiraf sebagai pusat biodiversiti dunia. Ia menempatkan pelbagai ekosistem unik, daripada hutan hujan tropika sehinggalah ke padang rumput alpine. Taman ini juga menjadi habitat kepada pelbagai spesies endemik yang tidak dapat ditemui di tempat lain.

Menariknya, Taman Kinabalu merupakan satu-satunya lokasi di Malaysia yang menerima tiga pengiktirafan UNESCO, iaitu sebagai Tapak Warisan Dunia, Geopark UNESCO dan Rizab Biosfera UNESCO. Dan pada tahun ini, Taman Kinabalu telah menandakan ulang tahun ke-25 sejak taman ini diberikan status Tapak Warisan Dunia pada tahun 2000.

Melalui pengalaman maya yang ditawarkan Google Arts & Culture, pengguna boleh menikmati pelbagai paparan visual, cerita sejarah dan Talking Tours yang dibantu teknologi Google AI – membolehkan penerokaan digital yang lebih imersif dan informatif.

Antara tempat menarik di Taman Kinabalu yang diketengahkan termasuk:

  • Taman Botani Kinabalu, yang menampilkan pelbagai spesies tumbuhan langka.
  • Pusat Pemuliharaan Rafflesia, yang memberi tumpuan kepada pemuliharaan bunga Rafflesia, iaitu bunga terbesar di dunia yang kini diancam kepupusan.

Selain Taman Kinabalu, kemaskini ini turut memperkenalkan pelbagai Tapak Warisan Dunia lain seperti:

  • Pusat Bersejarah Macao, China – mencerminkan interaksi antara budaya Portugis dan Cina.
  • Taman Negara Nyungwe, Rwanda – tapak biodiversiti penting yang mengandungi hutan hujan montane dan paya gambut utama.
  • Tanah Genting Curonian, Lithuania – formasi geografi bersejarah yang terletak di pesisir Laut Baltik.
  • Katedral León dan Runtuhan León Viejo, Nicaragua – tinggalan seni bina dan sejarah penjajahan Sepanyol.
  • Geopark Global UNESCO di Romania dan Jerman – kawasan berasaskan formasi geologi seperti gunung berapi lumpur dan tasik kawah.
  • Taman Negara Lençóis Maranhenses, Brazil – gabungan unik padang pasir dan lagun air tawar hasil fenomena semula jadi.

Dengan ini, kita dapat lihat yang mana Google Arts & Culture sedikit sebanyak telah menyediakan peluang kepada masyarakat global untuk menghargai warisan dunia, memahami nilai pemuliharaan, serta menjelajah keindahan alam dan budaya dengan lebih mudah dan inklusif.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd