Salah Faham Umum Tentang ADHD Dalam Kalangan Kanak-Kanak – Ini Realitinya

July 22, 2025
Kesihatan

Lina Rosli

ADHD atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder merupakan gangguan neurodevelopmental yang sering dikaitkan dengan tingkah laku kanak-kanak yang sukar dikawal, hiperaktif atau tidak memberi tumpuan.

Namun, menurut pakar, terdapat pelbagai tanggapan lazim dalam kalangan masyarakat yang kurang tepat dan boleh memberi kesan terhadap cara kita menyokong individu dengan ADHD – terutamanya kanak-kanak.

“Anak saya cuma malas, nakal dan degil.”

Salah satu tanggapan yang sering berlaku ialah menganggap tingkah laku kanak-kanak ADHD sebagai kemalasan atau kenakalan semata-mata. Namun, jika pelbagai usaha mendidik dan membimbing telah dilakukan tetapi tingkah laku mereka tetap tidak berubah, ini mungkin menandakan wujudnya isu yang lebih kompleks.

Oleh yang demikian, keadaan ini tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia berkemungkinan melibatkan perbezaan cara otak mereka berfungsi. Ini kerana ADHD ialah kondisi neurologi – otak individu ini berfungsi dengan cara yang berbeza.

Dengan diagnosis yang tepat, mereka boleh menerima sokongan yang bersesuaian dan berkesan, sekaligus membantu mereka berkembang dengan lebih baik di sekolah, di rumah dan dalam masyarakat.

“Anak saya akan pulih apabila dia membesar.”

Secara realitinya, ADHD bukanlah kondisi yang akan hilang dengan usia. Jika tidak dikenalpasti dan dibantu sejak awal, kesannya boleh menjadi lebih serius apabila kanak-kanak membesar.

Kesan jangka panjang ADHD yang tidak dirawat termasuk masalah disiplin, kesukaran menyesuaikan diri di sekolah, kemurungan, dan risiko tercicir daripada pendidikan. Namun begitu, dengan pelan rawatan dan bimbingan yang betul, mereka boleh belajar untuk menguruskan gejala dan menyesuaikan diri dengan persekitaran dengan lebih baik.

“ADHD hanya menjejaskan budak lelaki.”

Walaupun lebih banyak kes ADHD dikesan dalam kalangan kanak-kanak lelaki, ini tidak bermakna ia tidak berlaku kepada perempuan. Bezanya, gejala ADHD dalam kalangan perempuan sering tidak begitu ketara dan boleh disalah anggap.

Ramai kanak-kanak perempuan berusaha keras untuk menyesuaikan diri dan mungkin dilihat sebagai ‘rajin’ atau ‘pendiam’, namun sebenarnya sedang mengalami tekanan yang mendalam. Ini menyebabkan ramai dalam kalangan mereka tidak didiagnosis dan akhirnya mengalami kebimbangan atau kemurungan pada usia remaja dan dewasa.

“Semua kanak-kanak dengan ADHD adalah hiperaktif.”

Harus diingatkan yang mana, tidak semua individu dengan ADHD menunjukkan tingkah laku yang hiperaktif.

Sebenarnya, terdapat tiga jenis utama ADHD – iaitu jenis hiperaktif-impulsif, jenis kurang tumpuan (inattentive), dan jenis gabungan.

Bagi mereka yang mengalami ADHD jenis kurang tumpuan, gejala mungkin tidak begitu ketara secara fizikal. Mereka mungkin tidak gelisah atau banyak bergerak, tetapi cenderung menghadapi kesukaran untuk fokus, sering terlupa perkara penting, atau kelihatan seperti termenung dan ‘berangan’ walaupun semasa sesi pembelajaran.

Manakala bagi jenis hiperaktif-impulsif, individu mungkin sukar untuk duduk diam, banyak bercakap, kerap menyampuk atau bertindak sebelum berfikir. Mereka cenderung membuat keputusan tergesa-gesa, kurang sabar dan mudah teruja secara berlebihan.

Jenis gabungan pula melibatkan ciri-ciri daripada kedua-dua jenis iaitu kurang tumpuan dan hiperaktif-impulsif. Individu ini mungkin mengalami kesukaran untuk fokus dalam masa yang panjang, mudah terganggu, sukar mengawal pergerakan fizikal serta bertindak secara impulsif. Dalam konteks bilik darjah, mereka sering dilabel sebagai ‘mengganggu’ atau ‘tidak fokus’, sedangkan hakikatnya mereka sedang bergelut dengan simptom ADHD yang kompleks.

“Ini hanyalah perkara biasa yang semua orang perlu hadapi.”

Walaupun setiap individu mungkin pernah mengalami masalah tumpuan atau keletihan mental, ADHD merupakan kondisi klinikal yang mempunyai skala dari ringan hingga ke tahap yang lebih serius.

Bagi mereka yang berada dalam kategori ringan sekalipun, penilaian tetap penting bagi mengenal pasti cabaran sebenar dan langkah intervensi yang sesuai. Tanpa diagnosis, individu tersebut mungkin akan terus bergelut tanpa memahami punca sebenar kesukaran mereka.

“Ramai orang berjaya melalui hidup tanpa diagnosis selama ini. Kenapa perlu diperbesarkan sekarang?”

Memang tidak dinafikan bahawa terdapat individu yang hidup tanpa diagnosis rasmi dan masih mampu ‘berfungsi’ dalam kehidupan. Namun begitu, persoalannya ialah sejauh mana mereka hidup dalam tekanan? Sejauh mana potensi sebenar mereka telah direalisasikan?

ADHD boleh memberi impak terhadap pelbagai aspek kehidupan termasuk pilihan kerjaya, hubungan peribadi dan kesihatan mental. Dengan diagnosis dan rawatan awal, individu ini berpeluang untuk hidup dengan lebih seimbang dan berjaya.

Oleh itu, memahami ADHD secara menyeluruh dapat mengubah cara kita melihat dan menyokong individu yang mengalaminya. Tanggapan yang salah bukan sahaja boleh melambatkan proses intervensi, malah boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan emosi dan sosial seseorang. Jadi, adalah penting untuk mendekati isu ini dengan ilmu, empati dan kesediaan untuk menerima bahawa setiap individu berkembang dengan cara yang berbeza.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd