Beauty For A Better Life Salun Pertama Di Asia Kini Dibuka di Malaysia – Inisiatif Kecantikan Untuk Memerangi Pengasingan Sosial

August 1, 2025
Kecantikan

Lina Rosli

Beauty for a Better Life Salun, yang pertama seumpamanya di Asia, kini secara rasmi beroperasi di Malaysia.

Inisiatif ini merupakan kesinambungan daripada program Beauty for a Better Life anjuran Yayasan L’Oréal, dengan kerjasama L’Oréal Malaysia dan Yayasan Food Bank Malaysia, dalam usaha memerangi pengasingan sosial menerusi kuasa transformasi kecantikan.

Salun ini bukan sekadar ruang rawatan kecantikan. Ia menyediakan perkhidmatan dandanan dan kesejahteraan secara percuma, serta produk penjagaan diri kepada komuniti berpendapatan rendah. Lebih penting lagi, ia menjadi tempat untuk membina semula harga diri, memulihkan keyakinan dan merapatkan semula hubungan sosial dalam kalangan mereka yang tersisih daripada masyarakat.

Pemerkasaan Wanita Melalui Kemahiran Profesional

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2016, program Beauty for a Better Life telah melatih lebih 249 wanita daripada komuniti terpinggir melalui kursus vokasional dalam bidang dandanan rambut dan kecantikan. Hasilnya, 90% daripada peserta berjaya mendapat pekerjaan dalam masa tiga bulan, manakala sebahagian yang lain membina perniagaan sendiri – membuktikan bagaimana kemahiran asas boleh mencipta peluang ekonomi jangka panjang.

Kini, sebahagian graduan ini mengendalikan salun tersebut – menjadikan mereka bukan sekadar penerima manfaat, malah penyumbang kepada masyarakat. Ia mencipta kitaran pemerkasaan yang mana setiap sentuhan dandanan turut membawa harapan dan semangat baharu kepada mereka yang memerlukan.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Association Joséphine di Perancis, 89% wanita yang menerima rawatan kecantikan melaporkan peningkatan keyakinan diri, manakala 81% melaporkan perubahan imej diri yang lebih positif. Ini membuktikan bahawa kecantikan bukan hanya soal luaran, tetapi turut memberi kesan mendalam terhadap kesejahteraan emosi dan psikologi.

Menurut L’Oréal Malaysia, mereka menekankan bahawa kecantikan ialah hak semua orang, bukan satu kemewahan. Salun ini mencerminkan komitmen L’Oréal terhadap impak sosial jangka panjang, di mana kecantikan menjadi medium untuk menyatukan komuniti, membina semula kehidupan dan memperkukuh semangat berdikari.

Bukan itu sahaja, L’Oréal Malaysia turut menyasarkan untuk memperkasakan 5,000 individu menjelang tahun 2027 menerusi program ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd