Fahami Tingkah Laku Dan Emosi Anak Sepanjang Tempoh Persekolahan
Bat
Dalam dunia hari ini yang serba pantas, ramai ibu bapa terikat dengan komitmen kerja dan tugasan harian sehingga aspek penting dalam kehidupan anak-anak iaitu kesejahteraan emosi dan tingkah laku mereka sepanjang tempoh persekolahan yang mana ia sering dipandang remeh.
Sama ada anak tinggal di rumah dan bersekolah harian, atau berjauhan di asrama, perhatian terhadap kesihatan mental dan sosial mereka adalah lebih penting daripada yang disangka.
Kebanyakan ibu bapa masih menilai anak-anak hanya dari aspek akademik seperti keputusan peperiksaan, prestasi kelas dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum. Namun, ia tidak mencerminkan perkara dan situasi yang dialami oleh anak-anak.

Peningkatan Kes Buli Dan Tekanan Emosi Dalam Kalangan Pelajar
Laporan mengenai pelajar yang mengalami kemurungan akibat tekanan dan insiden buli semakin membimbangkan. Ramai yang mungkin kelihatan ceria dan normal di mata orang dewasa, tetapi sebenarnya menyimpan luka dan ketakutan yang tidak terungkap — bahkan tidak diketahui oleh ibu bapa sendiri.
Keadaan ini memberi isyarat jelas bahawa tidak semua masalah anak-anak dapat dikesan melalui tingkah laku yang kelihatan.
Tekanan persekitaran sekolah, beban pelajaran, masalah rakan sebaya, rasa sunyi dan gangguan emosi ini semuanya mampu menjadi pencetus tekanan mental pada usia yang masih muda. Dan ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan kepada pertumbuhan mental dan fizikal mereka.

Tanda-Tanda Awal Tekanan Emosi Yang Sering Diabaikan
Salah satu tingkah laku yang sering dianggap biasa tetapi sebenarnya membimbangkan ialah anak yang suka menyendiri di bilik. Mereka menghabiskan masa berjam-jam dengan permainan video atau media sosial dan secara perlahan-lahan menjauhkan diri daripada komunikasi bersama keluarga.
Bukan itu sahaja, terdapat juga kes yang mana anak-anak enggan makan bersama, tidak menyahut panggilan atau kelihatan hilang minat terhadap perkara yang dulu mereka sukai. Dan semua ini boleh menjadi petanda bahawa anak sedang bergelut dengan emosi yang tidak dapat diluahkan.
Ramai yang berpendapat bahawa permainan video sering menjadi ruang “melarikan diri” daripada tekanan realiti. Namun hakikatnya, solusi ini hanya bersifat sementara. Ini kerana, jika tidak dipantau, ia boleh memberi kesan yang lebih buruk kepada anak-anaka seperti ketagihan dan pengasingan diri.
Sebagai ibu bapa, peranan kita bukan hanya memerhati, tetapi benar-benar mendengar. Anak-anak mungkin tidak tahu bagaimana untuk meluahkan isi hati mereka, apatah lagi jika mereka takut dihakimi atau tidak difahami. Oleh itu, diam mereka bukan bererti semuanya baik — kadangkala, itu adalah jeritan senyap yang sangat memerlukan perhatian.
Antara langkah yang boleh diambil oleh ibu bapa untuk membina hubungan yang lebih sihat dan terbuka dengan anak-anak adalah dengan memulakan komunikasi secara lembut dan mesra. Contohnya, bertanyakan tentang hari yang mereka lalui, atau mengambil tahu kesukaran yang mungkin dihadapi sepanjang hari di sekolah atau di asrama.

Selain itu, luangkan masa berkualiti bersama anak-anak, sama ada melalui aktiviti riadah ringan, sesi berbual santai, atau melakukan hobi yang mereka gemari. Aktiviti bersama seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan, tetapi juga memberi ruang kepada anak untuk berasa dihargai dan didengar.
Ibu bapa juga digalakkan untuk memantau perubahan kecil dalam rutin harian anak-anak — seperti corak tidur yang berubah, selera makan yang menurun, atau emosi yang kelihatan tidak stabil. Perubahan-perubahan ini boleh menjadi petunjuk awal kepada tekanan atau gangguan emosi yang sedang mereka alami.
Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke asrama, cabarannya mungkin lebih besar. Namun komunikasi tidak harus terputus. Ucapan ringkas seperti “Ibu dan ayah rindu” atau “Macam mana hari kamu hari ini?” sudah cukup memberi rasa disayangi dan dihargai. Usah malu untuk menghubungi guru jika risau akan tingkah laku anak — kerjasama antara rumah dan sekolah adalah penting.
Anak-Anak Perlu Ruang Selamat Untuk Meluahkan
Anak-anak sedang membesar dalam dunia yang penuh tekanan, dan mereka masih belajar mengenal emosi sendiri. Jika orang dewasa juga kadangkala tidak mampu mengurus tekanan, apatah lagi mereka yang masih mencari ruang untuk memahami diri sendiri?
Jangan tunggu sehingga tragedi berlaku untuk mula mengambil berat. Anak-anak mungkin tidak meminta tolong secara langsung, tetapi perubahan sikap mereka sering menjadi isyarat paling awal. Jadilah tempat paling selamat untuk mereka bercerita dan melepaskan beban perasaan — tanpa takut, tanpa syarat.