NakNak Hadir Dengan Siri Bold Bulgogi – Burger Citarasa Korea Ditawarkan untuk Masa Terhad

August 6, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Jenama restoran perkhidmatan pantas tempatan (QSR), NakNak, memperkenalkan Siri Bold Bulgogi sebagai tambahan terbaharu dalam rangkaian menunya – yang ditawarkan untuk tempoh terhad.

Dalam masa yang sama, NakNak turut memperkenalkan semula kentang goreng kerinting dan Milkshake Pistachio sebagai sebahagian daripada menu tetap — selari dengan komitmen jenama dalam menawarkan pilihan hidangan yang segar, inovatif dan memenuhi cita rasa pengguna masa kini.

Untuk Siri Bold Bulgogi ini, ia hadir dengan dua pilihan burger yang menggabungkan keunikan rasa manis dan masin dalam sos bulgogi khas NakNak.

  • Burger Daging Bold Bulgogi hadir dengan kepingan daging lembu panggang, bawang merah, daun salad segar, serta mayo bulgogi berkrim, dilengkapkan dengan sos bulgogi istimewa.
  • Burger Ayam Bold Bulgogi pula menawarkan ayam goreng rangup dengan ramuan yang sama, memberikan tekstur yang lebih garing.

Kedua-dua burger ini dihidangkan bersama roti gebu lembut dan ditawarkan pada harga bermula daripada RM19.90 hingga RM23.90, bergantung kepada pilihan jenis daging.

Kentang Goreng Kerinting Dalam Dua Variasi, Pengenalan Menu Minuman Baharu – Milkshake Pistachio

Melengkapkan menu utama ialah kentang goreng kerinting, yang kembali ke pasaran atas permintaan pelanggan. Ia tersedia dalam dua variasi:

  • Original Golden yang klasik
  • Seaweed dengan salutan rumpai laut berperisa umami

Harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM12.50, dan kentang ini ditawarkan dalam saiz hidangan yang sesuai untuk dinikmati bersama menu utama atau sebagai snek berdikari.

Bukan itu sahaja, NakNak turut memperkenalkan Milkshake Pistachio sebagai minuman dalam menu tetap. Ia diperbuat daripada 100% pes pistachio tulen, milkshake ini menampilkan tekstur yang berkrim dan rasa kacang yang kaya. Untuk mencubanya, minuman ini ditawarkan pada harga bermula RM19.90.

Bagi yang berminat, anda boleh berkunjung ke rangkaian restoran NakNak yang berdekatan dan mula nikmati menu baharu ini.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd