Evolusi Kasut Ballerina Suede – Semakin Sohor Kini Di Media Sosial

August 13, 2025
Gaya Hidup

Bat

Jika anda aktif di TikTok atau sering meninjau laman e-dagang, pasti anda perasan satu trend kasut yang semakin mendapat perhatian – kasut ballerina-suede. Rekaannya yang ringkas, nipis, dan selesa, namun tetap menyerlahkan gaya feminin moden.

Menariknya, kasut ini bukanlah trend baharu sepenuhnya. Ia mula dikenali sekitar awal 2000-an apabila PUMA memperkenalkan koleksi Speedcat Ballerina.

Asal Usul PUMA Speedcat Ballerina

Sebelum itu, PUMA sudah popular dengan Speedcat Driving Shoes yang diinspirasikan daripada kasut kru pit pelumbaan Formula 1 pada akhir 90-an. Asal-usul Speedcat bermula pada tahun 1999 sebagai kasut perlumbaan profesional dengan kulit kalf atau kanggaru serta lapisan kalis api, direka bagi memberi rasa paling dekat dengan pedal untuk pelumba elit.

Setahun kemudian, ia hadir dalam versi gaya hidup dalam potongan rendah dan pertengahan dengan material kulit biasa serta Suede tanpa lapisan kalis api. Popularitinya melonjak di Eropah dengan kempen bersama bintang seperti Michael Schumacher, menjadikannya simbol sport-streetwear awal milenium.

Sekitar pertengahan 2000-an, PUMA memperkenalkan Speedcat Ballerina – versi yang lebih ramping, lebih fleksibel, dan mempunyai potongan seperti balet rata. Kasut ini memadukan elemen motorsport dengan sentuhan feminin, menjadikannya barangan wajib dimiliki di Asia dan Eropah.

Selepas bertahun menyepi, Speedcat Kembali menjadi bualan pada era kebangkitan semula fesyen Y2K apabila dilancarkan semula pada 2024 dalam versi OG suede hitam dan merah melalui kolaborasi bersama NAKED Copenhagen. Kemunculannya turut mendapat perhatian Gen Z dan selebriti seperti Rose daripada BLACKPINK.

Tahun 2025 menjadi detik penting apabila Speedcat Ballerina versi baharu diperkenalkan di Copenhagen Fashion Week. Rekaan terkininya menggabungkan siluet Mary Jane dengan potongan hadapan terbuka dan tali estetik, sambil mengekalkan ciri klasik Speedcat seperti sol getah, jalur berbentuk dan logo kucing.

Versi putih mula dijual pada 1 Mac 2025 pada harga USD 80, diikuti restock edisi “Silver” pada 13 Mei.

Gelombang populariti Speedcat Ballerina turut diperkuatkan oleh selebriti tempatan seperti Mira Filzah, duta rasmi PUMA Malaysia, yang tampil mempesona menggayakan kasut ini. Penampilannya segera menarik perhatian peminat fesyen tempatan dan mendorong ramai untuk mencuba trend ini.

Di pentas global pula, nama-nama besar seperti Rosé, Dua Lipa, dan Emily Ratajkowski sering dilihat menggayakan Speedcat dalam pelbagai acara dan hantaran Instagram. Malah, Dua Lipa sendiri menjadi wajah utama dalam kempen promosi rasmi Speedcat Ballerina, mengukuhkan lagi statusnya sebagai trend antarabangsa.

Tahun ini menyaksikan kebangkitan kategori baharu dalam fesyen kasut iaitu “sneakerina” — gabungan antara sandal balet dan sneakers. PUMA Speedcat Ballerina muncul sebagai salah satu pelopor, menjadi simbol gaya minimal elegan dengan kemasan suede yang ikonik.

Dari PUMA, kini jenama-jenama besar yang lain sperti Nike dan Adidas juga turut mengeluarkan kasut rata jenis suede ini. Dan kini, persoalannya hanya tinggal satu – sudahkah anda memiliki sepasang kasut ini?

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd