Titan Watches Tiba Di Malaysia – Catat Rekod Jualan Global Setiap 3 Saat

August 13, 2025
Fesyen

Lina Rosli

Titan Company Limited, pengeluar jam tangan kelima terbesar di dunia, kini membawa gabungan unik pertukangan dan inovasi bertaraf dunia ke Malaysia. Langkah ini direalisasikan melalui kerjasama strategik bersama Marco Worldwide Sdn. Bhd., membolehkan pelanggan mendapatkan koleksi Titan di rangkaian runcit Marco Worldwide serta melalui laman web rasmi.

Sebagai sebahagian daripada Kumpulan TATA yang berprestij di India, Titan memiliki rangkaian jualan di lebih 25 negara dengan rekod penjualan satu unit jam tangan setiap tiga saat. Koleksi Titan merangkumi pelbagai rekaan, daripada gaya minimalis untuk kegunaan harian hingga rekaan mewah yang memukau.

Menurut Gaurav Midha, Ketua Perniagaan Titan Company Limited, kemasukan semula jenama ini ke Malaysia adalah sebahagian daripada strategi pengembangan global, selaras dengan permintaan tinggi untuk aksesori mewah yang bergaya namun dijual pada harga yang berbaloi.

Tambah Titan, Malaysia merupakan pasaran Asia Tenggara yang dinamik dengan pengguna yang menghargai ketukangan berkualiti serta mampu milik.

Kerjasama ini dirasmikan melalui majlis menandatangani perjanjian rasmi, disertai dengan pertunjukan fesyen oleh pereka tempatan Inisaya, yang mempamerkan jam tangan Titan sebagai pelengkap fesyen moden batik tradisional.

Antara koleksi utama yang diperkenalkan termasuk:

  • Titan Edge – Jam tangan ultra nipis yang memenangi anugerah Red Dot Design.
  • Raga – Koleksi feminin yang memancarkan keanggunan dan kekuatan.
  • Titan Automatics – Memperlihatkan keindahan mekanikal melalui dail terbuka dan pergerakan kinetik.
  • Titan Stellar – Diilhamkan daripada elemen angkasa, menggunakan bahan jarang dengan komplikasi rumit.

Reputasi Titan diperkukuh dengan pelbagai pengiktirafan antarabangsa, termasuk pencalonan di Grand Prix d’Horlogerie de Genève (GPHG) 2024. Dengan gabungan inovasi, pertukangan halus, dan kemewahan yang mudah diakses, Titan mensasarkan untuk menjadi pilihan utama pengguna Malaysia yang mengutamakan gaya dan kualiti.

Untuk maklumat lanjut atau pembelian, layari https://titanwatches.my atau kunjungi kedai runcit Marco Worldwide berhampiran.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd