Bukan Lagi Sekadar Ayam Goreng, Jollibee Kini Menguasai Lebih 5,000 Kedai Kopi Dan Teh Di Seluruh Dunia
Lina Rosli
Tahukah anda bahawa segmen kopi dan teh kini menjadi penyumbang terbesar kepada rangkaian perniagaan global Jollibee Group?
Daripada hidangan ayam goreng manis pedas, Jollibee kini melebarkan sayap ke dunia kopi latte, teh susu boba, dan espresso artisanal. Di seluruh dunia, lebih 5,300 kedai kopi dan teh berada di bawah payung syarikat Filipina ini — melebihi jumlah restoran makanan segera mereka sendiri.
Nama-nama seperti The Coffee Bean & Tea Leaf (Singapura), Compose Coffee (Korea Selatan), Highlands Coffee (Vietnam) dan Milksha (Taiwan), semuanya kini bergerak di bawah strategi baharu Jollibee – menjadikan kopi dan teh sebahagian daripada gaya hidup global, sama seperti burger dan kentang goreng pada era lalu.

Bagi Jollibee, ini bukan sekadar menjual minuman – ia tentang menjadi sebahagian daripada rutin harian masyarakat. Sama ada anda memulakan hari dengan espresso di Seoul, berehat dengan teh ais di Jakarta, atau menikmati caramel latte di Los Angeles, ada peluang besar ia datang daripada jenama dalam keluarga Jollibee.
Untuk pengetahuan anda, pada suku kedua 2025, Jollibee Group mencatatkan jualan sistem global bernilai sekitar RM4.77 bilion, meningkat 19.6% berbanding tahun sebelumnya. Keuntungan bersih pula meningkat kepada kira-kira RM129 juta.
Apa yang menarik, lebih separuh daripada rangkaian global mereka kini terdiri daripada kedai kopi dan teh – sebanyak 5,312 daripada keseluruhan 10,119 cawangan di seluruh dunia.

Ini kerana pelaburan yang dibuat beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil. Di Korea Selatan, Compose Coffee — yang 70% pegangan sahamnya dibeli pada 2024 dengan nilai $238 juta — kini memiliki 2,809 cawangan dan dijangka melepasi 3,000 lokasi menjelang hujung tahun.
Sementara The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), yang diambil alih pada 2019, terus berkembang dengan 1,261 cawangan di lebih 20 negara, termasuk Amerika Syarikat, Indonesia dan Malaysia.
Di Vietnam, Highlands Coffee bukan sahaja menjadi jenama popular, malah memanfaatkan status negara itu sebagai pengeluar kopi kedua terbesar dunia untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya. Dengan 896 cawangan ketika ini, sasaran 1,000 cawangan menjelang akhir 2025 dilihat mampu dicapai melalui pelbagai format, termasuk kiosk dan pandu lalu.
Sementara itu, Milksha dari Taiwan membawa kepelbagaian kepada portfolio Jollibee melalui 346 cawangan yang menggabungkan minuman bubble tea dan aiskrim.
Daripada Ais Krim Ke Empayar Global
Jollibee bermula pada 1975 sebagai kedai ais krim kecil sebelum berkembang menjadi restoran makanan segera yang kini dikenali di seluruh dunia.


Hari ini, dengan lebih 18 jenama di bawah satu bumbung seperti Jollibee, Chowking, Mang Inasal, Greenwich Pizza, Red Ribbon, dan tentu saja rangkaian kopi dam teh yang semakin mengukuhkan kedudukan mereka.
Dengan pertumbuhan yang konsisten dan pelaburan strategik, Jollibee Group dilihat bersedia menjadikan kopi dan teh sebagai pemacu utama kejayaan mereka untuk tahun-tahun akan datang.