Adakah Hari Selasa Merupakan Hari Yang Paling Produktif Untuk Anda?

August 19, 2025
Tips

Lina Rosli

Jika ditanya hari apakah yang paling sesuai untuk menyiapkan tugasan besar atau membuat keputusan penting, ramai mungkin akan menjawab Isnin atau Jumaat. Namun, berdasarkan beberapa kajian produktiviti, Selasa sebenarnya dianggap sebagai hari paling produktif dalam seminggu.

Kajian oleh firma perunding Accountemps pada tahun 2019 menunjukkan sekitar 35% pekerja berasa paling fokus pada Selasa, jauh lebih tinggi berbanding Isnin atau Jumaat.

Namun, tinjauan oleh Robert Half pula mendapati 29% pekerja memilih Isnin sebagai hari paling produktif, manakala 27% memilih Selasa. Kajian lain seperti Redbooth pula menunjukkan corak serupa – produktiviti pekerja berada pada paras tertinggi adalah ketika pada awal minggu sebelum menurun menjelang hari Jumaat.

Mengapa berlaku sedemikian? Pada hari Isnin, ramai dalam kalangan pekerja atau individu boleh dikatakan masih sibuk menyesuaikan diri selepas hujung minggu – mengurus emel, mesyuarat dan perancangan mingguan.

Dan momentum kerja sebenar biasanya bermula pada hari Selasa, ketika tenaga lebih stabil dan fokus kembali pulih. Tidak hairanlah jika ramai memilih hari ini untuk menjadualkan mesyuarat penting atau menyelesaikan projek besar.

Bukan itu sahaja, peningkatan produktiviti ini turut seiring dengan kesibukan di jalan raya. Selasa sering dikaitkan sebagai antara hari trafik paling sesak kerana semakin ramai pekerja yang mengamalkan jadual kerja hibrid – memilih bekerja dari rumah pada Isnin atau Jumaat, lalu menjadikan Selasa sebagai hari pertama majoriti turun ke pejabat.

Bercakap mengenai trafik juga, operasi logistik dan lori penghantaran juga biasanya aktif pada hari Selasa. Selepas tempoh hujung minggu dan perancangan pada Isnin, syarikat penghantaran memulakan pengedaran stok dalam jumlah besar pada hari Selasa. Maka, disebabkan itulah jika anda perasan, kesesakan lebih terasa di lebuh raya utama dan kawasan perindustrian pada hari kedua berkerja.

Menariknya, pekerja moden – khususnya yang bekerja secara hibrid atau jarak jauh – juga menganggap Selasa sebagai “hari emas”. Kajian Prodoscore menunjukkan tugasan paling banyak disiapkan pada Selasa hingga Khamis, khususnya antara jam 10 pagi hingga 3 petang.

Bagaimana Anda Boleh Memanfaatkan Hari Selasa?

Jadi, bagaimana anda boleh memanfaatkan hari Selasa sepenuhnya? Berikut beberapa tip untuk kekal produktif:

  • Susun tugasan utama – letakkan kerja besar atau projek penting pada Selasa ketika fokus berada pada tahap tinggi.
  • Kurangkan gangguan – elakkan dari melakukan mutitugasan dan fokus pada satu tugasan demi kualiti kerja.
  • Kenali waktu puncak diri – manfaatkan waktu pagi hingga tengah hari untuk tugasan berat, dan simpan tugasan ringan untuk sebelah petang.
  • Rancang perjalanan – dengan trafik lebih padat, keluar lebih awal atau gunakan jadual kerja fleksibel.
  • Cipta ruang kerja kondusif – meja yang teratur dan suasana tenang membantu mengekalkan momentum.

Kesimpulannya, Selasa bukan sahaja hari paling sibuk di jalan raya, tetapi juga hari yang memberi peluang terbaik untuk mencapai produktiviti tertinggi. Dengan sedikit perancangan dan strategi, anda boleh menjadikan Selasa hari paling berkesan dalam minggu kerja anda.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd