Carian
Hilton Kuching Kini Menampilkan Kids Club Pertama Di Malaysia
August 20, 2025 Lina Rosli

Hilton Kuching kini melakar sejarah tersendiri apabila menjadi hotel pertama di Malaysia yang memperkenalkan Hilton Kids Club, sebuah ruang khas untuk kanak-kanak yang direka bagi menjadikan percutian keluarga lebih menyeronokkan.

Selepas proses penambahbaikan secara besar-besaran, hotel ikonik di tepi Sungai Sarawak ini kini tampil dengan wajah baharu yang bukan sahaja elegan dan moden, tetapi juga lebih mesra keluarga.

default

Untuk pengetahuan anda, Kids Club ini hadir dengan zon permainan dalaman yang berwarna-warni, sudut membaca, aktiviti kraftangan, permainan interaktif dan struktur memanjat – semuanya di bawah seliaan staf terlatih untuk memastikan pengalaman yang selamat dan menyeronokkan buat si kecil.

Menurut Hilton Kuching, tujuan utama pembukaan Kids Club ini adalah untuk memberi ruang kepada anak-anak meneroka kreativiti, berinteraksi dan mengenali budaya Sarawak dengan cara yang lebih santai. Sementara itu, ibu bapa pula boleh meluangkan masa bersantai di ruang hotel, menikmati kemudahan lain atau sekadar berehat tanpa perlu risau tentang hiburan anak-anak.

Selain Kids Club, Hilton Kuching turut memperkenalkan semula bilik penginapan dengan rekaan moden berinspirasikan Asia Tenggara, kolam renang dengan ruang khusus untuk kanak-kanak, serta pilihan makanan yang lebih pelbagai – menjadikannya lokasi percutian lengkap untuk keluarga.

Nikmati Sajian Baharu Di Hilton Kuching – Dari Hidangan Kantonis Halal Hingga Kopi Tempatan Segar

Bukan sekadar tempat penginapan, Hilton Kuching juga mempersembahkan pengalaman kulinari yang diperbaharui dengan sentuhan lokal dan citarasa global.

Antara tarikan utama ialah Toh Yuen, restoran Kantonis halal yang kini tampil dengan wajah baharu. Di sini, pengunjung boleh menikmati masakan klasik Kantonis yang diperkaya dengan elemen Sarawak – menjadikan setiap hidangan bukan sekadar enak tetapi juga mempunyai identiti tersendiri.

Bagi yang mencari suasana santai sambil menikmati pemandangan Sungai Sarawak, River View Café adalah pilihan ideal. Dengan konsep all-day dining, kafe ini kini menawarkan pilihan grill yang lebih luas serta stesen bufet yang dipertingkatkan.

Tidak ketinggalan juga The Terrace, ruang alfresco yang baru diselenggara – sesuai untuk mereka yang ingin menikmati koktel ketika matahari terbenam atau sekadar bersantai di udara terbuka dengan hidangan ringan.

Bagi peminat kopi pula, The Koffee pasti menggembirakan. Menyajikan kopi panggang tempatan bersama aneka pastri segar dan kek penuh indulgence, ia menjadi pilihan tepat untuk sesi rehat petang atau pertemuan kasual.

Dengan gabungan pilihan ini, Hilton Kuching bukan sekadar menawarkan penginapan yang selesa, tetapi juga pengalaman penuh untuk seisi keluarga. Ia sekali gus menandakan era baharu buat hospitaliti di Kuching, di mana keselesaan ibu bapa dan keceriaan anak-anak diraikan dalam satu destinasi.

Komen