Kempen Tech The Emission Down Kutip Lebih 3,000 Unit Sisa Elektronik, ALL IT Hypermarket Perkukuh Usaha Kelestarian

August 25, 2025
Kelestarian

Lina Rosli

Pada 1 Jun 2025 yang lepas, ALL IT Hypermarket telahpun sedia memperkenalkan kempen Tech Emission Down – yang memfokuskan tentang kesedaran pembuangan sisa elektronik secara mampan.

Sejak pelancarannya, kempen Tech The Emission Down ini telah menunjukkan pencapaian awal yang memberangsangkan. Dalam tempoh sekitar dua bulan setengah, pusat 1RECYCLING CENTRE (1RC) di 1 Utama berjaya mengumpulkan lebih 3,300 unit sisa elektronik yang merangkumi:

  • 2,030 unit telefon pintar dan tablet
  • 605 unit e-waste kategori hiburan dan bersaiz sederhana
  • 585 unit komputer riba
  • 156 unit kamera video dan kamera kompak

Hasil ini memperlihatkan peningkatan kesedaran masyarakat untuk melupuskan peranti lama secara bertanggungjawab, di samping menegaskan keberkesanan kerjasama pelbagai pihak dalam menggerakkan agenda kelestarian.

Bagi mengukuhkan lagi inisiatif ini, ALL IT Hypermarket bersama sembilan rakan strategik — 1 Utama Shopping Centre, Alliance Bank, Atome, Blueshark, MG, Microsoft, JBL, TP-Link dan GoPro — telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU).

Melalui kolaborasi ini, kempen memberi tumpuan kepada usaha menangani cabaran pengurusan sisa digital dan gajet di Malaysia – selain turut membantu dalam memupuk kesedaran dalam kalangan pengguna di Malaysia tentang cara pelupusan peranti elektronik yang betul.

Bagi anda yang berminat untuk menyertai kempen ini, orang ramai boleh menghantar peranti lama ke mana-mana cawangan ALL IT Hypermarket atau ke pusat 1RC untuk diproses di fasiliti ISO Jaring Metal – yang mana pengurusan sisa ini akan memastikan ia tidak berakhir di tapak pelupusan.

Selain itu, kempen yang akan berlangsung hingga 31 Disember 2025 ini menawarkan pelbagai aktiviti kesedaran, insentif pembelian teknologi lestari, serta hadiah berkala setiap dua bulan. Kemuncaknya, dua hadiah utama menanti peserta iaitu MG4 EV (kereta elektrik) dan Blueshark R1 (motosikal elektrik).

Untuk pengetahuan anda juga, 1 Utama Shopping Centre merupakan pusat membeli-belah hijau pertama di Malaysia sejak tahun 1995. Oleh itu, dengan adanya kempen Tech The Emission Down, ia sedikit sebanyak mengukuhkan lagi visi kemampanan mereka yang bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi memerlukan kerjasama erat antara sektor industri, peruncitan dan kewangan bagi mewujudkan masa depan yang lebih hijau untuk Malaysia.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd