KFC Warnai 14 Cawangan Dengan Sentuhan Seni Tempatan Sempena Bulan Kemerdekaan 2025

August 26, 2025
Makanan & Minuman

Lina Rosli

Bersempena sambutan bulan Kemerdekaan yang ke-68 pada tahun ini, sebanyak 14 cawangan terpilih KFC di seluruh negara kini dihiasi mural hasil sentuhan 11 artis tempatan, menampilkan tema “KFC Cara Kita” yang meraikan cara unik rakyat Malaysia menikmati KFC.

Daripada Pulau Pinang hingga ke Sabah, setiap mural membawakan cerita yang berbeza – yang mana ada yang menggambarkan nostalgia hidangan KFC bersama keluarga, ada yang menonjolkan adat resam dan budaya jalanan, manakala sebahagian lagi mengangkat mercu tanda serta dialek setempat.

Dengan ini, mural ini sedikit sebanyak menjadi refleksi gaya hidup dan kebanggaan rakyat Malaysia melalui lensa seni yang segar dan berwarna-warni.

Menurut KFC Malaysia, karya ini bukan sekadar hiasan dinding, tetapi sebuah naratif yang mengetengahkan semangat rakyat ke ruang restoran. Pemilihan artis juga cukup signifikan kerana mereka datang daripada latar berbeza – termasuk nama-nama seperti Katun, Nas Suha, Bingka KL dan Haw yang menggabungkan seni jalanan, ilustrasi budaya dan penceritaan moden.

Inisiatif ini bukan sahaja menjadi tarikan visual, tetapi turut membawa simbolik mendalam. Jumlah 14 mural melambangkan 14 negeri serta 14 jalur dan bucu pada Jalur Gemilang, menjadikannya sebuah penghormatan khusus buat Malaysia.

Apa yang lebih menarik, khusus buat peminat seni juga, anda boleh memiliki karya eksklusif menerusi Charm Touch ‘n Go edisi terhad KFC Cara Kita dengan rekaan Bingka, yang hanya boleh didapati melalui aplikasi KFC di cawangan terpilih.

Lebih menarik, kempen ini turut diperluas ke peringkat komuniti menerusi program QSR Prihatin. Sebagai penerima program Sehati Feed to Educate QSR Brands, 500 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Takir di Terengganu akan menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut, menerima barangan peralatan sekolah dan mengambil bahagian dalam aktiviti Merdeka.

Bukan itu sahaja, sambutan itu diperluas ke Malaysia Timur dengan SK Tabuan Ulu di Kuching, Sarawak, turut menyertai kempen tersebut, sekaligus membawakan semangat perpaduan dan patriotisme kepada masyarakat di seluruh negara. 

Akhir sekali, sempena ulang tahun kemerdekaan ke-68, KFC turut memperkenalkan menu istimewa Hidangan Kegemaran Rakyat Malaysia pada harga RM6.80, termasuk kombinasi popular seperti Cheezy Wedges dan Coleslaw Combo serta Loaded Cheezy Fries dan Wedges.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd