Cawangan ZUS Coffee Di Kasturi Walk Dihiasi Dengan Lukisan Mural Ikonik Nas Suha

August 29, 2025
Gaya Hidup

Lina Rosli

Dalam usaha menghidupkan semula pesona Downtown Kuala Lumpur, ZUS Coffee merasmikan cawangan terbaharu mereka di Kasturi Walk, Pasar Seni. Cawangan ini menampilkan gabungan unik antara seni tempatan, elemen warisan, dan pengalaman kopi moden yang semakin sinonim dengan jenama tersebut.

Salah satu tarikan utama ialah mural hasil karya artis tempatan, Nas Suha, yang menghiasi fasad luar bangunan. Mengangkat elemen ikonik budaya Malaysia, mural ini bukan sahaja menceriakan kawasan pelancongan, malah menarik perhatian penyanyi Faizal Tahir yang turut menjadikannya latar muzik video terbaharunya, 31.8.57.

Untuk pengetahuan anda, ini merupakan kerjasama kedua ZUS Coffee bersama Nas Suha selepas mural ikonik di Taman Jubilee, Ipoh.

Bagi mengekalkan nilai sejarah bangunan warisan ini, proses pengubahsuaian dilakukan dengan penuh teliti termasuk pemulihan struktur asal dan kerja konservasi. Hasilnya, cawangan Kasturi Walk kini berdiri megah dengan keaslian yang dipelihara, namun tetap memenuhi keperluan operasi moden.

Apabila anda melangkah masuk ke dalam cawangan ZUS Coffee ini, anda akan melihat para staf memperagakan apron unik bercorak batik – menjadi lambang ikonik untuk cawangan di Kasturi Walk. Untuk pengetahuan anda juga, kafe ini hadir dengan ruang dua tingkat – yang mana pada bahagian atas merupakan ruang lepak dan santai untuk para pengunjung.

Di dinding latar, ZUS Coffee hadir dengan hasil seni mural dari Nas Suha yang sebelumnya – termasuk hasil mural baharu iaitu gambar wanita bertudung yang dihiasi dengan elemen batik pada selendang dan latar.

Dengan dekorasi minimalis dan ruang santai, ia bukan sahaja menjadi destinasi pilihan penggemar kopi, malah lokasi yang sesuai untuk pertemuan kasual mahupun kerja jarak jauh

Menambah dimensi seni ke dalam pengalaman pelanggan, cawangan ini juga akan memperkenalkan koleksi eksklusif Corak ZUS All Day Cup yang menampilkan mural Nas Suha, selain turut menampilkan rangkaian ZUS Ngupi Instant untuk dinikmati di mana-mana sahaja.

Pelancaran ini juga bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan, sekaligus memperkukuh identiti ZUS Coffee sebagai jenama tempatan yang meraikan budaya dan warisan bangsa.

Dengan lokasi strategik di tengah kawasan tumpuan pelancong, ZUS Coffee Kasturi Walk dijangka menjadi persinggahan ikonik bagi mereka yang ingin menikmati kopi tempatan sambil merasai keindahan seni dan warisan Kuala Lumpur.

© 2025 Amanz Media Sdn Bhd