Books Kinokuniya Kini Rasmi Dibuka Di Pavilion Damansara Heights
Lina Rosli
Kinokuniya, rangkaian kedai buku antarabangsa yang terkenal dengan koleksi pelbagai genre dari seluruh dunia, kini rasmi membuka cawangan terbarunya di Pavilion Damansara Heights.
Pembukaan ini menandakan satu lagi pencapaian penting jenama tersebut dalam memperkukuh kehadirannya di Malaysia selepas berjaya menarik minat pencinta buku di lokasi ikonik seperti Suria KLCC.

Dengan pembukaan baharu ini, pengunjung boleh menjangkakan pengalaman membeli-belah buku yang lebih moden dan selesa. Ruang kedai direka untuk menggabungkan suasana kontemporari dengan elemen mesra pembaca dan “Curated for you” – menampilkan susun atur yang luas serta koleksi yang merangkumi buku-buku terlaris, karya klasik, majalah dan bahan bacaan khusus.
Selain menawarkan pelbagai judul tempatan dan antarabangsa, Kinokuniya di Pavilion Damansara Heights turut menyediakan ruang interaktif bagi acara pelancaran buku, sesi bertemu penulis dan aktiviti komuniti. Inisiatif ini sekali gus menjadikan Kinokuniya bukan sahaja sebuah kedai buku, tetapi juga pusat budaya yang menghubungkan pembaca, penulis dan peminat seni.

Pembukaan cawangan baharu ini dijangka memberi lebih banyak pilihan kepada pencinta buku di kawasan sekitar Kuala Lumpur dan sekitarnya, sekaligus mengukuhkan reputasi Kinokuniya sebagai destinasi utama bagi mereka yang mencari bahan bacaan berkualiti tinggi.